Close

HONOR Magic7 RSR Porsche Design diumumkan – Guna cip Snapdragon 8 Elite, RAM 24GB dan storan 1TB

HONOR secara rasmi memperkenalkan peranti edisi terhad baru mereka iaitu Magic7 RSR Porsche Design. Seperti namanya, peranti ini hadir dengan rekaan dan kemasan menarik untuk menjadikan ia lebih mewah dan lebih istimewa.

Magic7 RSR Porsche Design tampil dengan rekaan yang hampir sama dengan generasi sebelumnya. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan untuk menjadikan ia lebih menarik. Perubahan ketara adalah pada rekaan kamera belakang, hadir dengan susunan kamera yang berbeza dan kedudukan flash yang diubah. Seterusnya, kemasan warna pada bahagian kamera kini menggunakan pilihan warna yang sama.

Tiada perubahan pada spesifikasi dalaman, bermaksud ia menggunakan spesifikasi yang sama seperti HONOR Magic7 Pro. Dilengkapi dengan skrin LTPO OLED jenis melengkung bersaiz 6.82-inci. Turut menyokong paparan 120Hz dengan kecerahan puncak HDR 5000 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan dengan RAM sehingga 24GB dan storan dalaman sehingga 1TB.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Ultra Lebar + 200MP Telefoto dengan 3x zum optik dan 100x zum digital. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 50MP yang dipadan dengan sensor 3D depth sensing. Dimuatkan dengan bateri 5850mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar dan 80W tanpa wayar.

Di China, Magic7 RSR Porsche Design ini dijual pada harga bermula sekitar CNY7999 (RM24,943) untuk 16GB + 512GB dan CNY8999 (RM28,067) untuk 24GB + 1TB.

ARTIKEL BERKAITAN