Qualcomm mungkin akan memperkenalkan cip baru untuk kelas andalan mereka iaitu Snapdragon 8s Elite. Cip ini dikatakan sebagai alternatif kepada cip Snapdragon 8 Elite dan ditawarkan pada harga lebih mampu milik.
Menurut laporan, cip ini tersebut akan menggunakan nama cip Snapdragon 8s Elite dengan kod model SM8735. Cip ini akan dilengkapi dengan konfigurasi 8 teras dengan 1x Cortex-X4 3.21GHz + 3x Cortex-A720 3.01GHz + 2x Cortex-A720 2.8GHz + 2x Cortex-A520 2.02GHz.

Walaupun cip ini menggunakan nama ‘Elite’ namun ia tidak menggunakan konfigurasi Oryon seperti pada cip Snapdragon 8 Elite. Berikutan dari itu, cip ini menawarkan kemampuan prestasi yang hampir sama atau sedikit lebih rendah berbanding cip Snapdragon 8 Gen 3.
Siri POCO F7 dijangka akan menjadi peranti terawal yang akan dikuasakan dengan cip Snapdragon 8s Elite. Selain POCO, iQOO dan Redmi turut dijangka menjadi peranti yang dikuasakan dengan cip ini.