Close

HUAWEI MatePad Pro 12.2-inci – Tablet yang efisien untuk pelbagai tugas

HUAWEI sememangnya jenama yang popular dengan penawaran tablet yang menarik merangkumi spesifikasi yang berkuasa dan juga kemampuan yang serba boleh. Untuk itu, HUAWEI melalui MatePad Pro 12.2-inci telah dibangunkan untuk pengguna yang mencari tablet dengan prestasi terbaik dan rekaan yang premium.

Rekaan

Premium dan nipis, itu mungkin perkataan yang sesuai untuk mengambarkan rekaan MatePad Pro 12.2-inci ini. Dari segi rekaan, tablet ini hadir dengan rekaan yang mewah dan premium. Bukan itu sahaja, tablet ini turut menggunakan rekaan yang nipis dan ringan dengan ketebalan sekitar 5.5mm dan berat sekitar 508 gram sahaja.

Mungkin boleh dikatakan ia adalah tablet paling ringan dan nipis yang ada di pasaran ketika ini. Dengan menggunakan rekaan yang nipis dan ringan ia menjadikan tablet ini terasa selesa apabila dipegang biarpun untuk jangka masa panjang. Selain itu, ia memudahkan tablet ini untuk dibawa atau digunakan di mana saja.

Berbeza dengan kebanyakkan tablet yang menggunakan rekaan sisi jenis rata, HUAWEI lebih memilih untuk menggunakan rekaan sisi yang sedikit bulat untuk memberikan keselasaan yang lebih baik ketika menggunakannya. Untuk menjadikan tablet ini nampak lebih mewah, HUAWEI menggunakan kemasan jenis berkilat pada panel belakang yang mempunyai tekstur sutera emas.

Skrin

Selain tampil dengan rekaan yang premium dan nipis, kemampuan dan keupayaan skrin pada tablet ini juga sesuatu yang menarik. Pengalaman skrin yang ditawarkan pada MatePad Pro 12.2-inci boleh dikatakan terbaik dalam kelasnya.

Hadir dengan skrin bersaiz 12.2-inci Tandem OLED dengan resolusi 2.8K. Turut menyokong paparan 144Hz, kecerahan puncak 2000 nits dan mempunyai lapisan anti-silau dan pantulan. Menurut HUAWEI, skrin tablet ini menawarkan kecerahan yang lebih baik berbanding OLED biasa.

Bingkai tablet ini menggunakan rekaan yang nipis dan simetri sekaligus dapat memberikan pengalaman skrin yang imersif. Lapisan anti-silau dan pantulan turut membantu untuk meningkatkan penglihatan skrin dalam masa yang sama dapat mengurangkan keletihan mata lebih-lebih pada persekitaran yang rendah cahaya. Pengalaman skrin tablet ini sememangnya mengujakan dengan warna yang dihasilkan baik dan juga responsif.

Prestasi dan sistem operasi

Bercakap mengenai prestasi, MatePad Pro 12.2-inci hadir dengan konfigurasi memori 12GB RAM dan 512GB untuk storan dalaman. Tiada maklumat yang dikongsi oleh HUAWEI mengenai cip yang digunakan namun ia berkemungkinan adalah Kirin T91.

Apa yang boleh dikatakan, prestasi yang ditawarkan pada tablet ini adalah cukup baik. Tiada sebarang masalah berkenaan prestasi dan tiada masalah kepanasan yang dikesan. Semua aplikasi dan tugasan dapat dijalankan dengan lancar. Kemampuan prestasi ini turut dibantu dengan pengoptimuman perisian sekaligus menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Untuk sistem operasi, MatePad Pro 12.2-inci hadir dengan sistem operasi terkini dari HUAWEI iaitu HarmonyOS 4.2. Sistem operasi ini hadir dengan beberapa peningkatan dan penambahbaikan dari segi antaramuka, aplikasi dan juga fungsi.

HarmonyOS 4.2 tampil dengan antaramuka yang ringkas dan menarik serta mudah untuk digunakan. Sistem operasi ini turut menawarkan kemampuan untuk menyambung peranti atau aksessori HUAWEI lain dengan mudah dan pantas melalui fungsi SuperHub, Huawei Share dan Super Device.

Kelebihan terbesar yang dibawakan oleh sistem operasi ini adalah aplikasi GoPaint. Aplikasi ini dibangunkan khusus untuk tablet ini dengan menyokong lebih dari 150 jenis berus dan 320 lapisan kanvas. Lebih menarik, ia menawarkan fungsi New Batik yang hanya ditawarkan untuk pasaran Malaysia sahaja.

Selain itu, ia turut menyokong pelbagai lagi fungsi menarik seperti HUAWEI Notes, Multi-Window, SuperHub, Smart Sensing, Floating Windows Display dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, tablet ini turut menyokong fungsi yang dikuasakan oleh AI seperti AI Voice, AI Lens, AI Touch, AI Tips dan AI Search.

Tablet ini turut menyokong aksesori tambahan seperti stylus dan juga papan kekunci. Yang mana, aksesori ini boleh disambung dengan mudah secara magnetik. Keupayaan aksesori ini mampu menjadikan MatePad Pro 12.2-inci setanding komputer riba.

Kamera

MatePad Pro 12.2-inci ini dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor 13MP + 8MP Ultra Lebar. Tablet ini turut menyokong kemampuan zum sehingga 10x. Dari segi rakaman video, kamera ini menyokong rakaman video sehingga 4K 30fps.

Kemampuan kamera tablet boleh dikatakan cukup baik untuk sebuah tablet. Pada keadaan cukup cahaya, imej yang dihasilkan baik dengan perincian dapat dikekalkan dan terang. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 16MP yang turut menyokong fungsi FollowCam yang memastikan subjek sentiasa di dalam bingkai.

Bateri

Walaupun MatePad Pro 12.2-inci menggunakan rekaan yang nipis namun ia masih dimuatkan dengan kapaisit bateri yang besar iaitu 10,100 mAh. Jadi, masalah bateri bukanlah perkara yang perlu dirisaukan. Bukan itu sahaja, tablet ini turut menyokong pengecasan pantas 100W.

Apa yang boleh dikatakan, jangka hayat bateri pada tablet ini adalah sangat baik sesuai untuk pengunaan harian. Namun begitu, ketahanan bateri mungkin berbeza dan bergantung kepada cara penggunaan.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, MatePad Pro 12.2-inci boleh dikatakan sebagai sebuah tablet yang cukup baik dan menarik yang ada di pasaran ketika ini. Terdapat banyak perkara menarik yang ditawarkan oleh HUAWEI melalui tablet ini. Sekaligus, memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan menyeronokkan.

Tidak ketinggalan, fungsi dan akesori tambahan yang dibawa menjadikan tablet ini lebih efisien, produktif dan sesuai untuk digunakan pada pelbagai keadaaan.

ARTIKEL BERKAITAN