Kemunculan siri Redmi Note sering menjadi tumpuan berikutan ia sentiasa hadir dengan penawaran yang menarik dan berbeza. Berikutan dari itu, Xiaomi melalui Redmi Note 14 Pro+ 5G hadir dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.
Rekaan serba baru

Berbeza dengan rekaan sebelum ini, Redmi Note 14 Pro+ 5G hadir dengan rekaan yang lebih premium dan juga lebih lasak. Perubahan paling ketara dapat dilihat pada kedudukan kamera belakang yang diletakkan pada bahagian tengah sekaligus menjadikan ia nampak lebih simetri.

Untuk menjadikan rekaan kamera belakang lebih menarik, Xiaomi menggunakan kamera modul berwarna hitam dan terdapat kemasan glossy di sekeliling bahagian kamera. Perubahan ini, menjadikan peranti nampak lebih menonjol berbanding model sebelumnya.

Selain itu, Xiaomi kini menggunakan kemasan jenis vegan leather pada panel belakang Redmi Note 14 Pro+ 5G. Kemasan ini memberikan keselesaan dan cengkaman yang lebih baik ketika menggunakan peranti biarpun untuk tempoh yang panjang. Apa yang boleh dikatakan, rekaan dan kemasan yang digunakan pada peranti ini setanding dengan peranti andalan.
Ketahanan yang lebih baik

Selain dari rekaan yang lebih menarik, Xiaomi turut menawarkan kemampuan dan juga ketahanan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Bercakap mengenainya, skrin peranti ini dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2 sementara panel belakang pula dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 7i.

Dengan menggunakan Dual Corning Gorilla Glass ia menjanjikan peningkatan dari segi ketahanan dan kemampuan yang lebih baik. Sekaligus, dapat memberikan perlindungan tambahan pada skrin depan dan panel belakang. Dengan menggunakan teknologi ini ia menjadikan skrin peranti ini kalis calar dan lasak.

Bukan itu sahaja, peranti ini turut mempunyai sokongan kalis debu dan air melalui penarafan IP68. Jadi, peranti tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya terkena percikan air atau terjatuh dalam air kerana ia masih boleh digunakan seperti biasa.

Menjadikan peranti ini lebih istimewa, ia turut hadir dengan fungsi Wet Touch 2.0. Fungsi ini, membolehkan peranti digunakan biarpun pada keadaan skrin basah. Apa yang boleh dikatakan, fungsi ini memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan sesuai untuk digunakan pada pelbagai keadaan atau aktiviti.
Spesifikasi yang lengkap

Redmi Note 14 Pro+ 5G dikuasakan dengan cip Snapdragon 7s Gen 3 yang menggunakan teknologi binaan 4nm dari TSMC. Dipadankan dengan RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 2.2. Secara keseluruhan, cip menawarkan peningkatan CPU sehingga 20%, GPU sehingga 40%, prestasi AI sehingga 30% dan kecekapan kuasa sehingga 12%.

Apa yang boleh dikatakan, cip ini mampu memberikan pengalaman penggunaan setanding dengan peranti andalan. Tiada masalah untuk sebarang tugasan atau permainan kerana peranti ini dapat menjalankan tugasnya dengan sangat baik.

Selain itu, Redmi Note 14 Pro+ 5G turut menawarkan ketahanan bateri yang cukup baik. Dimuatkan dengan bateri 5110mAh yang menyokong pengecasan HyperCharge 120W yang mampu mengecas dari 0% ke 100% hanya dalam 20 minit sahaja. Jadi, masalah bateri bukan perkara yang perlu dirisaukan.
Lebih pintar dengan kecerdasan buatan (AI)

Siri Redmi Note 14 menjadi peranti pertama dalam siri Redmi yang dimuatkan dengan fungsi kecerdasan buatan (AI). Ketibaan pelbagai fungsi yang dikuasakan dengan AI dapat membantu dalam meningkatkan tahap kreativiti dan produktiviti.

Antara fungsi AI yang menarik pada peranti ini adalah seperti AI Image Expansion, AI Erase Pro, AI Magic Removal Pro, AI Film dan banyak lagi. Untuk AI Image Expansion, ia membolehkan pengguna mengubah komposisi imej untuk jadi lebih menarik. Manakala, AI Magic Removal Pro membolehkan subjek atau objek dalam gambar di buang dan AI Film pula untuk membantu pengguna menghasilkan dengan video dengan lebih mudah dan menarik.

Tidak ketinggalan, terdapat juga beberapa lagi fungsi AI yang dapat meningkatkan produktiviti pengguna seperti AI Notes, AI Recorder, Circle to Google Search, Gemini, AI Interpreter dan AI Subtitles. Semua fungsi AI ini mampu memudahkan urusan seharian pengguna dan membantu dalam komunikasi.