TikTok dilaporkan bersedia untuk menutup atau menghentikan operasi mereka di Amerika Syarikat (AS) sebaik sahaja larangan pengharamannya berkuatkuasa pada 19 Januari ini.
Namun begitu, TikTok tidak menolaknya untuk meneruskan operasinya sekiranya terdapat pengecualian atau penangguhan hukuman pada saat akhir. Pada ketika ini, Mahkamah Agung AS sedang menilai sama ada mengekalkan keputusan atau membatalkannya.
Donald Trump yang akan memegang jawatan Presiden pada 20 Januari ini dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan perintah eksekutif bagi menggantung perlaksanaan penutupan selama 60 hingga 90 hari. Perintah tersebut dibuat untuk memberikan lebih banyak masa bagi menyelesaikan isu tersebut.
Sebelum ini, ByteDance telah diberi dua pilihan iaitu menjual TikTok kepada syarikat lain atau berhenti beroperasi di Amerika Syarikat. Dari pilihan yang diberikan, TikTok dilihat lebih memilih untuk menghentikan operasi berbanding menjual TikTok ke syarikat lain.