Google belum lagi memperkenalkan Pixel 9a namun telah ada laporan mengenai model yang seterusnya iaitu Pixel 10a.
Menurut laporan, Pixel 10a mungkin akan menggunakan cip Tensor G4 bukannya Tensor G5 seperti yang sepatutnya. Tidak seperti sebelumnya, Pixel a menggunakan cip yang sama yang digunakan pada model semasa. Sebagai contoh, Pixel 8a menggunakan cip yang sama seperti siri Pixel 8 iaitu Tensor G3.
Cip Tensor G5 dikatakan hadir dengan kemampuan AI yang lebih berkuasa dan keupayaan kamera yang lebih baik. Perubahan ini dijangka akan memberi kesan kepada kemampuan kecerdasan buatan (AI), prestasi dan juga kemampuan kamera pada Pixel 10a.
Google dikatakan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan harga jualan Pixel 10a disebabkan harga cip Tensor G5 yang tinggi. Berikutan itu, Google terpaksa memilih untuk menggunakan cip lebih lama pada peranti tersebut. Namun begitu, perubahan tersebut mungkin akan memberi kesan kepada permintaannya.