Samsung secara rasmi memperkenalkan peranti paling premium dalam siri Samsung Galaxy S25 iaitu Galaxy S25 Ultra. Tampil dengan beberapa peningkatan yang menarik dan lebih baik dari model sebelumnya.

Dari segi rekaan, Galaxy S25 Ultra kini hadir dengan rekaan lebih berkotak dengan skrin jenis rata. Masih menggunakan binaan dari Titanium dengan 15 gram lebih ringan berbanding model sebelumnya. Dilengkapi dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.9-inci dengan resolusi QHD+. Turut menyokong paparan Super Smooth 120Hz, Vision Booster, kecerahan puncak 2600 nits dan dilindungi Gorilla Glass Armor 2.

Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite For Galaxy yang dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.0. Bateri 5000mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas berwayar 45W dan 15W tanpa wayar.

Galaxy S25 Ultra hadir dengan tetapan kuad-kamera belakang dengan sensor utama 200MP OIS + 50MP Telefoto OIS + 10MP Telefoto OIS + 50MP Ultra Lebar. Kemampuan kamera ini turut dibantu Next Gen ProVisual Engine yang menjanjikan hasil imej yang lebih baik dan terperinci. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 12MP. Untuk video, Galaxy S25 Ultra kini menyokong 10-bit HDR, Galaxy-LOG untuk Color Grading dan rakaman video sehingga 8K 30 fps.


Galaxy S25 Ultra turut dilengkapi dengan fungsi Galaxy AI baru dan dikuasakan dengan pembantu maya dari Google Gemini. Samsung turut memperkenalkan fungsi baru iaitu Now Brief dan Now Bar. Untuk Now Brief, ia memberikan rangkuman aktiviti sementara Now Bar pula memberikan kemas kini masa nyata pada skrin depan.
Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti pengimbas cap jari bawah skrin, NFC, Bluetooth 5.4, Wi-Fi 7, penarafan IP68, sokongan S Pen dan menjalankan One UI 7 berasaskan Android 15.

Di Malaysia, Samsung Galaxy S25 Ultra dijual pada harga bermula RM5999 (12GB + 256GB), RM6599 (12GB +512GB) dan RM7799 (12GB + 1TB). Ditawarkan dengan 4 pilihan warna iaitu Titanium Silverblue, Titanium Gray, Titanium Whitesilver dan Titanium Black.
Setiap pembelian siri Galaxy S25 hadir dengan langganan Gemini Advanced dan storan awanan 2TB secara percuma selama 6 bulan. Selain itu, pelanggan yang melakukan pra-tempahan bermula 23 Januari hingga 13 Februari 2025 akan menerima tawaran bernilai sehingga RM1600. Bukan itu sahaja, pengguna juga akan menerima peningkatan storan berganda bernilai RM600 untuk model terpilih.