Samsung telahpun melancarkan peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu siri Samsung Galaxy S25. Seiring dengan ketibaannya, terdapat beberapa perkara menarik yang dibawakan oleh Samsung pada peranti ini. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi 4 perkara menarik mengenai siri Samsung Galaxy S25.
Cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy

Berbeza dengan siri Galaxy S24 yang hadir dengan 2 pilihan cip iaitu Snapdragon dan Exynos. Untuk siri Galaxy S25, Samsung menggunakan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy pada semua model. Seperti namanya, cip ini direka khas untuk Samsung dan lebih berkuasa berbanding Snapdragon 8 Elita biasa.
Menurut Samsung, cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy ini menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 37%, GPU sehingga 30% dan NPU sehingga 40% berbanding cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy atau cip Exynos 2400 yang digunakan pada siri Galaxy S24.

Bukan itu sahaja, cip ini turut menawarkan pemprosesan imej AI yang lebih baik sekaligus memberikan peningkatan sehingga 40% dalam kualiti penskalaan imej. Cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy sememangnya menjanjikan prestasi yang terbaik dalam pelbagai aspek seperti permainan, AI dan juga kemampuan kamera.
Skrin Gorilla Glass Armor 2

Samsung menjadi pengeluar terawal yang menggunakan teknologi skrin Gorilla Glass Armor 2, digunakan pada Galaxy S25 Ultra. Teknologi skrin ini dihasilkan dengan bahan kaca seramik anti-reflektif pertama dalam Industri untuk peranti mudah alih.

Menurut Corning, Gorilla Glass Armor 2 menawarkan ketahanan yang lebih baik terhadap permukaan kasar seperti konkrit. Dalam ujian yang dilakukan, skrin ini mampu menahan hentakan pada ketinggian 2.2 meter pada permukaan konkrit tanpa sebarang kerosakan.
Bukan itu sahaja, teknologi skrin ini juga mempunyai ketahanan calar 4 kali lebih baik berbanding kaca lithium-aluminosilicate yang digunakan oleh pengeluar lain. Selain itu, lapisan anti-silau yang digunakan turut membantu mengurangkan pantulan dengan ketara sekaligus memberikan pengalaman visual yang lebih jelas dan selesa dalam pelbagai keadaan.
Fungsi baru Galaxy AI

Dalam usaha untuk meningkatkan tahap kreativiti dan produktiviti dalam kehidupan seharian. Samsung kini hadir dengan beberapa fungsi Galaxy AI baru pada siri Galaxy S25.


Antara fungsi baru yang diperkenalkan adalah seperti Now Brief, Now Bar, Audio Eraser, Auto Trim dan juga Circle to Search. Untuk Now Brief, iia memberikan rangkuman aktiviti pada waktu pagi dan malam seperti ramalan cuaca serta agenda sepanjang hari. Sementara Now Bar pula memberikan kemas kini masa nyata pada skrin hadapan ketika dikunci.

Audio Eraser membolehkan pengguna memadam atau membuang bunyi bising pada video. Auto Trim pula, menyunting video yang dipilih dan menghasilkan video yang lebih menarik. Circle to Search kini boleh mengesan URL, nombor telefon, alamat dan lebih menarik ia juga boleh mengesan bunyi.
Seamless Update

Siri Samsung Galaxy S25 menjadi peranti andalan pertama yang menyokong fungsi Seamless Update. Fungsi ini membolehkan peranti terus digunakan oleh pengguna semasa kemas kini dipasang di bahagian latar.

Seamless Update menggunakan konsep partition A/B, yang mana kemas kini akan dipasang pada storan kedua atau sebaliknya. Selepas pemasangan selesai, pengguna hanya perlu melalukan proses reboot untuk mula menggunakan peranti dengan versi perisian yang lebih baru. Buat yang tidak mengetahui, fungsi ini telahpun tersedia pada Samsung Galaxy A55.