Close

Ulasan Samsung Galaxy S25 – Lebih prestasi dan lebih inovasi

Pada ketika ini, mungkin boleh dikatakan tidak banyak pengeluar yang menawarkan peranti kompak atau bersaiz kecil di pasaran. Namun begitu, berbeza dengan Samsung kerana masih lagi menawarkan peranti kompak melalui Galaxy S25.

Rekaan

Dari segi rekaan mungkin boleh dikatakan yang Galaxy S25 hadir dengan rekaan yang hampir sama seperti model sebelumnya. Namun begitu, Samsung masih membawakan perubahan untuk menjadikan peranti ini lebih menonjol berbanding generasi sebelumnya.

Galaxy S25 hadir dengan rekaan yang berkotak dengan sisi jenis rata menjadikan peranti ini selesa untuk dipegang. Walaupun menggunakan rekaan yang sama namun Galaxy S25 kini 0.4mm lebih nipis dan 5 gram lebih ringan berbanding Galaxy S24.

Masih menggunakan kemasan jenis kesat pada bahagian bingkai dan juga panel belakang. Dengan menggunakan kemasan jenis kesat ia bukan sahaja tidak meninggalkan kesan cap jari tetapi turut memberi cengkaman yang lebih baik. Selain itu, Galaxy S25 masih menggunakan binaan Armor Aluminium dan menyokong penarafan IP68.

Perubahan yang mungkin anda perasan adalah pada modul kamera belakang. Yang mana, Samsung tidak lagi menggunakan warna yang sama mengikut warna body sebaliknya menggunakan satu pilihan warna sahaja pada modul kamera iaitu hitam. Untuk menjadikan peranti ini lebih menarik, Samsung hadir dengan pelbagai pilihan warna iaitu Navy, Icyblue, Silver shadow dan Mint. Samsung turut menawarkan 3 pilihan warna eksklusif iaitu Blueblack, Coralred dan Pinkgold.

Selepas beberapa generasi Samsung kekal dengan rekaan yang sama, kita mungkin boleh menjangkakan rekaan tersebut adalah identiti bagi Samsung. Namun begitu, kami mengharapkan suatu yang lebih menarik akan dibawakan oleh Samsung pada model yang seterusnya.

Skrin

Galaxy S25 dilengkapi dengan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.2-inci dengan resolusi FHD+. Skrin peranti ini turut menyokong paparan Super Smooth 120Hz, Vision Booster dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2. Tidak ketinggalan, peranti ini turut menyokong kecerahan puncak sehingga 2600 nits yang memberikan penggunaan yang lebih baik di bawah matahari.

Samsung masih mengekalkan rekaan bingkai skrin yang nipis dan simetri pada Galaxy S25. Dengan rekaan bingkai skrin yang nipis dan simetri ia memberikan pengalaman penggunaan skrin yang lebih baik dan lebih interaktif. Tidak dinafikan, kedua-dua perkara tersebut memainkan peranan penting dalam memberikan kepuasan kepada pengguna yang menyukai peranti bersaiz kecil atau kompak.

Secara keseluruhan, skrin pada Galaxy S25 sememangnya sangat cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan yang jelas dan juga responsif.

Prestasi

Samsung tidak lagi menggunakan cip Exynos sebaliknya menggunakan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Seperti namanya, cip ini direka khas untuk Samsung dan lebih berkuasa berbanding Snapdragon 8 Elite biasa yang digunakan pada kebanyakkan pengeluar.

Menurut Samsung, cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy ini menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 37%, GPU sehingga 30% dan NPU sehingga 40% berbanding cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy atau cip Exynos 2400 yang digunakan pada siri Galaxy S24.

Cip ini turut menawarkan pemprosesan imej AI yang lebih baik sekaligus memberikan peningkatan sehingga 40% dalam kualiti penskalaan imej. Sepanjang percubaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan dengan prestasi yang kami hadapi. Prestasi yang ditawarkan cip ini sangat memberangsangkan.

Selain itu, tiada masalah kepanasan yang melampau dikesan pada peranti ini. Ini disebabkan oleh Samsung telah menambahbaik sistem penyejukkan sekaligus menjanjikan suhu peranti sentiasa berada di paras yang optimum. Apa yang boleh dikatakan, prestasi yang ditawarkan pada peranti ini sememangnya mengagumkan sesuai untuk pelbagai kegunaan dan tugas.

Sistem operasi

Sistem operasi dari Samsung sentiasa menjadi perkara menarik untuk diperkatakan. Galaxy S25 hadir dengan sistem operasi terbaru dari Samsung iaitu One UI 7 yang dibina berasaskan kepada Android 15.

One UI 7 hadir dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik dan menarik seperti antaramuka yang lebih kemas dan prestasi sistem operasi yang dipertingkat. Tidak ketinggalan, sistem operasi ini turut hadir dengan pelbagai fungsi baru yang dikuasakan oleh Galaxy AI.

Antara fungsi Galaxy AI baru yang dibawakan pada Galaxy S25 adalah seperti Audio Eraser, Gallery Search, Now Brief, Auto Trim dan banyak lagi. Untuk Audio Eraser, ia membolehkan pengguna memadam bunyi bising pada video manakala Gallery Search pula memudahkan carian imej dan video dengan merujuk kepada lokasi kandungan. Now Brief pula memberikan rangkuman aktiviti pada waktu pagi dan malam sementara Auto Trim akan menyunting dan menganalisis video yang dipilih seterusnya menghasilkan video yang lebih menarik.

Bercakap mengenai antaramuka One UI 7, Samsung masih mengekalkan asas yang sama iaitu rekaan minimalis namun kini lebih menarik dengan ikon direka semula, widget serba baru dan pilihan warna palette yang lebih segar. Samsung turut menjanjikan kemas kini yang lebih panjang iaitu sehingga 7 tahun yang merangkumi kemas kini Android dan juga kemas kini keselamatan.

Bateri

Galaxy S25 dimuatkan dengan kapasiti bateri dan pengecasan yang sama seperti model sebelumnya iaitu  4000mAh dan pengecasan 25W. Secara asasnya, peranti ini mampu bertahan seharian untuk penggunaan biasa.

Untuk penggunaan kami, ketahanan bateri Galaxy S25 boleh dikatakan baik mampu bertahan seharian dengan Screen On Time (SOT) yang ditawarkan adalah sekitar 6 jam dan ke atas. Yang mana, penggunaan ini merangkumi pelbagai perkara seperti menonton kandungan media sosial, permainan, navigasi dan lain-lain.

Bagi penggunaan yang lebih ringan, ia mampu menawarkan jangka hayat bateri yang lebih panjang dengan kadar S0T sekitar 7 jam dan ke atas. Walau bagaimanapun, ketahanan bateri bergantung kepada cara penggunaan dan mungkin berbeza.

Kamera

Samsung masih mengekalkan konfigurasi kamera yang sama seperti model sebelumnya. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama sebesar 50MP OIS +10MP Telefoto OIS +12MP Ultra Lebar. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 12MP. Walaupun menggunakan tetapan kamera yang sama namun ia masih menawarkan kemampuan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.

Kemampuan kamera peranti ini sememangnya baik untuk pelbagai keadaan. Untuk situasi dengan cahaya yang cukup, peranti ini memberikan hasil imej yang baik dengan warna yang vibrant dan perincian imej dapat dikekalkan. Pada keadaan kurang cahaya pula, cenderung untuk menghasilkan imej dengan dynamic range yang tinggi namun hasil imej yang diberikan masih lagi baik.

Kemampuan kamera telefoto dan potrait pada Galaxy S25 juga baik dengan imej yang dihasilkan nampak tajam, perincian dapat dikekalkan dan potongan bokeh juga kemas. Bukan itu sahaja, Samsung turut menawarkan fungsi filters, membolehkan pengguna mengubahsuai filter atau memuat turun filter untuk digunakan. Untuk video, Galaxy S25 kini menyokong Galaxy-LOG untuk Color Grading dan rakaman video sehingga 8K 30 fps.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Galaxy S25 mempunyai pakej yang lengkap buat peminat yang menyukai peranti bersaiz kecil atau kompak. Selain itu, penawaran peranti ini sememangnya cukup menarik dengan spesifikasi, fungsi AI dan kemampuan kamera yang baik.

Dengan kekurangan penawaran peranti bersaiz kompak di pasaran pada ketika ini, Galaxy S25 mungkin boleh dikatakan sebagai pilihan terbaik ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN