Google dijangka akan memperkenalkan Pixel 9a lebih awal berbanding kebiasaan. Sebelum ini, Pixel a sering diperkenalkan pada acara Google I/O iaitu pada bulan Mei namun untuk kali ini ia akan diperkenalkan pada Mac ini.

Dalam perkembangan terbaru, imej yang didakwa sebagai Pixel 9a telahpun tertiris. Memperlihatkan Pixel 9a hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Peony, Iris, Obsidian dan Porcelain.

Bukan sahaja warna, imej tersebut turut memperlihatkan rekaan peranti yang menggunakan rekaan sisi jenis rata dengan skrin hadapan jenis rata. Selain itu, rekaan kamera belakang Pixel 9a tidak lagi menggunakan rekaan bonggol kamera sebaliknya menggunakan rekaan jenis rata.
Untuk spesifikasi, Pixel 9a akan dikuasakan dengan cip Tensor G4, kamera utama 48MP, bateri 5100mAh dan pengecasan 27W. Peranti ini dijangka akan dijual pada harga sekitar $499 (RM2251) untuk model asas iaitu 128GB.