Qualcomm secara rasmi memperkenalkan cip baru untuk peranti kelas pertengahan iaitu Snapdragon 6 Gen 4. Merupakan kemas kini dan pengganti kepada cip semasa iaitu cip Snapdragon 6 Gen 3.

Cip Snapdragon 6 Gen 4 ini dibina menggunakan teknologi binaan 4nm dari TSMC dengan teras CPU Arm v9 baru. Sebagai perbandingan, generasi sebelumnya dibina menggunakan teknologi binaan 4nm dari Samsung dan 6nm dari TSMC. Qualcomm menyatakan cip ini menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 11% dan GPU sehingga 29% berbanding cip Snapdragon 6 Gen 3.

Cip ini turut menawarkan penggunaan kuasa yang lebih efisien iaitu sehingga 12% dan turut menyokong INT4 untuk model AI. Spesifikasi lain yang turut dimuatkan pada cip ini adalah seperti sokongan RAM sehingga 16GB LPDDR5, storan UFS 3.1, skrin dengan paparan 144Hz dan WiFi 6E.
Untuk kamera, ia menyokong sensor sehingga 200MP dengan rakaman video sehingga 4K HDR pada 30fps. Terdapat juga fungsi khas untuk permainan iaitu Snapdragon Game Super Resolution dan Adreno Frame Motion Engine.
realme, OPPO dan Honor dijangka menjadi pengeluar terawal yang akan menggunakan cip ini pada peranti ini. Kita mungkin akan melihat peranti dengan cip ini dalam beberapa bulan akan datang.