Close

Ulasan Samsung Galaxy S25 Ultra – Rekaan sama, tapi pengalaman berbeza

Seperti kebiasaan, model paling premium dari Samsung iaitu Galaxy S25 Ultra sering menjadi tumpuan setiap kalinya ketibaan. Seperti namanya, model ini dimuatkan dengan pelbagai perkara menarik yang merangkumi spesifikasi, teknologi, fungsi dan sebagainya.

Rekaan

Ikonik, itu mungkin ayat yang sesuai untuk mengambarkan rekaan peranti ini kerana ia mudah dikenali dan sinonim dengan Samsung. Bukan itu sahaja, Samsung masih menggunakan bahan binaan yang premium tapi kali ini lebih ringan dan juga lebih tahan lasak.

Walaupun menggunakan rekaan yang sama namun Samsung masih membawakan beberapa perubahan untuk menjadikan ia lebih menarik. Galaxy S25 Ultra kini menggunakan rekaan sisi rata sepenuhnya menjadikan ia lebih selesa apabila dipegang berbanding Galaxy S24 Ultra. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, ia menggunakan rekaan sisi yang sedikit bulat dan rekaan sudutnya lebih tajam.

Selain itu, peranti ini masih menggunakan rangka titanium namun ia kini 14 gram lebih ringan. Sebagai perbandingan, Galaxy S25 Ultra hanya seberat 218 gram manakala Galaxy S24 Ultra pula adalah seberat 232 gram. Dengan 14 gram lebih ringan ia menjadikan peranti selesa dan lebih sedap dipegang untuk jangka masa yang panjang.

Berbeza untuk kali ini, Samsung menggunakan satu pilihan warna sahaja pada modul kamera iaitu hitam berbanding sebelum ini. Selain itu, panel belakang kekal menggunakan kemasan jenis kesat sekaligus menjadikan ia lebih selesa bila dipegang dan kurang kesan cap jari.

Samsung kekal menjadi satu-satunya pengeluar yang menawarkan stylus atau S Pen secara terbina namun untuk kali ini ia tidak lagi menyokong fungsi Bluetooth. Melalui sokongan Bluetooth ia membolehkan S Pen digunakan sebagai kawalan kamera. Perubahan ini pasti sedikit mengecewakan dan tidak dapat dipastikan mengapa Samsung membuang sokongan Bluetooh pada S Pen.

Bercakap mengenai pilihan warna, peranti ini hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Titanium Silverblue, Titanium Gray, Titanium Black dan Titanium Whitesilver. Terdapat 3 pilihan warna eksklusif yang hanya ditawarkan melalui Samsung.com iaitu Titanium Jetblack, Titanium Jadegreen dan Titanium Pinkgold.

Skrin

Galaxy S25 Ultra hadir dengan teknologi skrin yang sama tapi dengan saiz skrin yang sedikit lebih besar iaitu 6.9-inci. Namun begitu, perbezaan tersebut tidak begitu ketara dan mungkin anda tidak perasaan mengenainya. Peranti ini menggunakan skrin Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi QHD+. Turut menyokong paparan 120Hz, vision booster dan kecerahan puncak 2600 nits.

Peranti ini hadir dengan bingkai skrin yang sedikit lebih nipis berbanding sebelum dan kekal dengan rekaan simetri. Namun begitu, skrin peranti ini tidak lagi menggunakan rekaan bucu jenis tajam sebaliknya jenis bulat. Pada pendapat kami, rekaan skrin dengan bucu jenis tajam nampak lebih menarik dan cantik berbanding jenis bulat. Walau bagaimanapun, anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.

Samsung menjadi pengeluar pertama hadir dengan teknologi skrin Gorilla Glass Armor 2. Skrin ini dihasilkan dengan bahan kaca seramik anti-reflektif pertama dalam Industri untuk peranti mudah alih. Skrin ini tidak hanya menawar ketahanan yang lebih baik tetap turut hadir dengan lapisan anti-silau yang mengurangkan pantulan sekaligus memberikan pengalaman visual yang lebih jelas dan selesa dalam pelbagai keadaan.

Apa yang boleh dikatakan, kemampuan dan keupayaan skrin Galaxy S25 Ultra sememangnya berada di kelasnya yang tersendiri.

Prestasi

Ini mungkin perkara yang disukai oleh peminat Samsung, Galaxy S25 Ultra kekal menggunakan cip dari Qualcomm. Untuk kali ini, Samsung menggunakan cip Snapdragon 8 Elite For Galaxy yang direka khas dan lebih berkuasa berbanding cip Snapdragon 8 Elite yang digunakan pada kebanyakkan pengeluar.

Samsung menyatakan yang cip Snapdragon 8 Elite For Galaxy menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 37%, GPU sehingga 30% dan NPU sehingga 40% berbanding cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy. Cip ini dibina berasaskan teknologi binaan 3nm dari TSMC.

Cip ini turut membawakan kemampuan dan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih baik melalui Galaxy AI. Seperti yang dikatakan oleh Samsung, cip ini sememangnya mempunyai prestasi yang berkuasa sesuai untuk digunakan untuk pelbagai tugasan.

Selain itu, Samsung turut menambahbaik sistem penyejukkan dengan memuatkan vapor chamber yang lebih besar berbanding model sebelumnya. Sistem penyejukkan ini menjanjikan suhu peranti sentiasa optimum dalam masa yang sama dapat mengelakkan masalah kepanasan yang melampau.

Sistem operasi

Tidak seperti rekaan yang menerima perubahan kecil, sistem operasi One UI 7 menerima perubahan besar dengan pelbagai peningkatan merangkumi antara muka lebih menarik, fungsi Galaxy AI baru dan banyak lagi. One UI 7 dibina berasaskan kepada sistem operasi terkini dari Google iaitu Android 15.

Perkara yang kami suka mengenai One UI 7 adalah antara muka kini lebih kemas dan lebih menarik. Ikon kini serba baru dan telah direka semula untuk menjadikan ia lebih cantik dan minimalis berbanding sebelumnya. Sokongan widget kini lebih interaktif dan lebih banyak pilihan diberikan. Control center juga turut menerima perubahan yang kini lebih tersusun dan lebih mudah untuk diakses.

Bukan itu sahaja, lock screen kini turut menyokong pelbagai jenis tetapan yang boleh dipilih seperti font, style dan color. Perubahan ini menjadikan lock screen lebih interaktif dan lebih menarik. Samsung turut menambah beberapa fungsi Galaxy AI baru seperti Audio Eraser, Gallery Search, Now Brief, Auto Trim dan lain-lain.

Samsung turut memperkenalkan fungsi Now Bar pada One UI 7. Fungsi ini hampir sama seperti Dynamic Island namun diletakkan di bawah bahagian dan dipaparkan pada lock screen. Now Bar akan memaparkan pelbagai informasi dan kemas kini masa nyata pada skrin ketika dikunci. Selain itu, peranti ini akan menerima kemas kini sehingga 7 tahun merangkumi Android dan keselamatan.

Bateri

Jika anda mengharapkan peningkatan pada kapasiti bateri dan teknologi pengecasan perkara tersebut tidak terjadi untuk tahun ini. Samsung masih mengekalkan bateri 5000mAh dengan pengecasan 45W berwayar, 15W tanpa wayar dan 4.5W reverse wireless charger.

Namun begitu, peranti ini masih mampu menawarkan ketahanan bateri yang sangat baik. Untuk penggunaan biasa, ia mampu bertahan sepanjang hari. Dari segi pengecasan, ia mampu mengecas 62% dalam masa sekitar 30 minit dan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 70 minit.

Untuk penggunaan yang lebih berat, ia mampu memberikan Screen On Time (SOT) sekitar 6 jam atau 7 jam dan ke atas. Namun begitu, ia bergantung kepada penggunaan mungkin berbeza bagi setiap pengguna. Secara keseluruhan, kemampuan bateri peranti ini sememangnya baik namun jika Samsung menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar dan teknologi pengecasan yang lebih pantas ia pasti menjadikan peranti ini lebih menarik.

Kamera

Pada bahagian kamera, Samsung masih mengekalkan tetapan kamera yang sama seperti Galaxy S24 Ultra namun sensor Ultra Lebar kini lebih besar iaitu 50MP. Galaxy S25 Ultra hadir dengan tetapan kuad-kamera belakang dengan sensor utama 200MP OIS + 50MP Telefoto OIS + 10MP Telefoto OIS + 50MP Ultra Lebar dan swafoto 12MP.

Kemampuan kamera ini turut dibantu Next Gen ProVisual Engine yang menjanjikan hasil imej yang lebih baik dan terperinci. Melaluinya, ia menawarkan hasil imej dengan tona kulit lebih semula jadi, tekstur yang dipertingkat dan warna lebih tepat biarpun pada keadaan cahaya rendah.

Kemampuan sememangnya sangat baik untuk pelbagai keadaan. Pada keadaan dengan cahaya yang cukup, hasil imej yang diberikan cukup baik dengan warna yang konsisten. Selain itu, imej yang dihasilkan juga terang dan hampir kepada keadaan sebenar dan perincian yang diberikan juga cukup jelas.

Untuk keadaan kurang cahaya, hasil imej yang diberikan masih terang dan jelas. Bukan itu sahaja, perincian dan tona warna juga dapat dikekalkan dengan cukup baik. Selain itu, keupayaan kamera telefoto kini terasa lebih stabil dan mod potret lebih bijak untuk membezakan objek dan latar belakang.

Perkara lain yang menarik mengenai kamera adalah antaramuka aplikasi kini lebih tersusun dan mudah untuk diakses dan terdapat fungsi filters yang membolehkan pengguna mengubahsuai filter atau memuat turun filter untuk digunakan pada imej yang diambil. Untuk video, Galaxy S25 Ultra kini menyokong Galaxy-LOG untuk Color Grading dan rakaman video sehingga 8K 30 fps.

Kesimpulan

Galaxy S25 Ultra sememangnya menawarkan pelbagai perkara yang menarik dan hebat seiring dengan teknologi masa kini. Gabungan prestasi dan inovasi yang dibawakan oleh Samsung berjaya menjadikan peranti ini lebih menarik. Namun begitu, dari segi rekaan ia mungkin sedikit mengecawakan bagi sesetengah penguna.

ARTIKEL BERKAITAN