Nintendo secara rasmi memperkenalkan konsol mudah alih mereka yang seterusnya iaitu Switch 2. Konsol ini telahpun diperlihatkan pada awal tahun lalu tanpa sebarang maklumat mengenai spesifikasinya.

Nintendo Switch 2 dilengkapi dengan skrin yang lebih besar iaitu 7.9-inci berbanding 6.2-inci pada model sebelumnya. Menggunakan skrin LCD dengan resolusi 1080p yang turut menyokong paparan 120Hz dan HDR. Konsol ini turut menyokong storan dalaman lebih besar 256GB dan juga dua port sambungan USB-C untuk aksesori yang dletakkan pada bahagian bawah dan atas.


Konsol ini turut hadir dengan alat kawalan serba baru dengan saiz lebih besar dan boleh disambungan secara magnetik. Joy-Con 2 ini turut boleh digunakan seperti tetikus dan mempunyai butang tambahan baru “C” untuk akses pantas menu chat ketika bermain.

Terdapat juga kickstand pada bahagian belakang dan menyokong dock baru yang menyokong paparan sehingga 4K apabila disambungkan pada TV. Dock baru ini turut mempunyai kipas penyejuk untuk memastikan suhu konsol sentiasa pada paras yang optimum.

Buat masa ini, tiada maklumat mengenai harga jualan untuk pasaran tempatan namun ia dijangka tersedia sekitar Julai-September 2025.