MediaTek mengumumkan cip andalan terbaru mereka iaitu Dimensity 9400e. Cip ini adalah versi naik taraf dari Dimensity 9300+ dengan beberapa peningkatan yang menarik merangkumi prestasi dan kecerdasan buatan (AI).
Cip Dimensity 9400e dibangunkan dengan teknologi binaan 4nm dari TSMC. Hadir dengan konfigurasi CPU 8 teras dengan 1x Cortex-X4 berkelajuan 3.4GHz + 3x Cortex-X4 berkelajuan 2.8GHz + 4x Cortex-A720 berkelajuan 2.0GHz.

Untuk prestasi grafik, ia menggunakan GPU yang sama seperti cip Dimensity 9300+ iaitu Immortalis-G720 MC12. GPU ini turut menyokong teknologi Star Speed Engine Adaptive Control 2.0 dan Dimensity Frame Double Technology 2.0+, menjanjikan prestasi grafik yang lebih baik dan cekap kuasa.
Cip ini turut memfokuskan kepada kemampuan AI generatif dengan menyokong pelbagai teknologi kecerdasan buatan berasaskan LLM (Large Language Model), LoRA Fusion dan NeuroPilot LoRA Fusion 2.0. Dari segi permainan, cip ini dilengkapi dengan MediaTek Frame Rate Converter baru yang mampu mengurangkan penggunaan kuasa sehingga 40%. Tidak ketinggalan, terdapat juga teknologi HyperEngine dan Adaptive Gaming Technology.
Untuk spesifikasi lain, Dimensity 9400e menyokong resolusi sehingga 4K dengan paparan 120Hz atau WQHD dengan paparan 180Hz. Cip ini turut menyokong kamera sehingga 320MP dengan rakaman sehingga 8K 30 fps, WiFi 7 dan Bluetooth 6.
Peranti terawal yang akan menggunakan cip ini adalah realme GT 7 dan OnePlus Ace 5 Racing Edition. Kedua-dua peranti ini dijangka akan diperkenalkan dalam masa terdekat.