Selepas memperkenalkan ciri imbasan dokumen pada iOS, WhatsApp kini turut membangunkan ciri yang sama untuk Android.
Melalui ciri ini, ia membolehkan pengguna mengimbas dokumen secara terus menggunakan kamera telefon. Sekaligus, memudahkan perkongsian dokumen dan tidak lagi memerlukan aplikasi pihak ketiga.

Ciri ini telahpun diuji dalam kemas kini WhatsApp beta untuk Android melalui versi 2.25.18.29. Seperti pada iOS, ciri ini akan ditawarkan dalam 2 pilihan mod iaitu automatik dan manual. Untuk automatik, WhatsApp akan mengesan dokumen dan mengimbas secara automatik. Sementara untuk manual pula, pengguna boleh menentukan dan menyesuaikan dokumen sebelum diimbas.
Selepas dokumen diimbas, fail akan ditukar secara terus ke dalam format PDF dan disimpan pada peranti. Selain itu, fail tersebut boleh dikongsi secara terus kepada individu atau kumpulan. Semua dokumen yang dikongsi dilindungi dengan penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption).
Ciri ini masih lagi dalam fasa pembangunan dan dijangka tiba dalam kemas kini yang akan datang.