Samsung telah memperkenalkan cip pemprosesan terbaru mereka iaitu Exynos 2500. Merupakan cip kelas andalan hadir dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Cip Exynos 2500 dibangunkan dengan teknologi binaan 3nm Gate-All-Around (GAA). Cip ini memnawarkan peningkatan prestasi yang lebih tinggi dan penjimatan tenaga yang lebih efisien. Menyokong konfigurasi memori LPDDR5X untuk RAM dan UFS 4.0 untuk storan dalaman.

Menggunakan konfigurasi 10 teras dengan 1x teras Cortex-X925 pada 3.3GHz, 7x teras Cortex-A725 pada 2.36GHz dan 2x teras Cortex-A520 pada 1.8GHz. Untuk prestasi grafik ia menggunakan GPU Xclipse 950 berasaskan AMD RDNA3. GPU ini menawarkan peningkatan prestasi ray tracing sekitar 28% untuk memberikan grafik yang lebih realistik dalam permainan.

Kemampuan NPU kini lebih berkuasa mencapai sehingga 59 TOPS dengan peningkatan sekitar 39% lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Membolehkan ia menjalankan pelbagai tugas atau ciri AI dengan lebih pantas. Dari segi keupayaan kamera, cip ini mampu menyokong sensor kamera sehingga 320MP dan mampu merakam video pada resolusi sehingga 8K 30fps.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan sokongan WiFi 7, Bluetooth 5.4, 5G mmWave, skrin dengan resolusi 4K, paparan 120Hz dan menyokong rangkaian satelit (NTN) yang membolehkan menghantar mesej melalui satelit.
Samsung Galaxy Z Flip7 berkemungkinan akan menjadi peranti pertama yang akan menggunakan cip Exynos 2500.