Apple dijangka akan memperkenalkan siri iPhone 17 pada sekitar September ini. Jadi, tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum iPhone generasi tiba secara rasmi. Seiring dengan itu, ini lima ‘rumours’ menarik tentang siri iPhone 17.
Pilihan model baru

Apple mungkin akan memperkenalkan iPhone 17 ‘Air’ sebagai model keempat. Model ini akan menggantikan model ‘Plus’ yang dikatakan kurang mendapat sambutan. Seperti namanya, model ini akan menggunakan rekaan yang lebih nipis dan hadir dengan spesifikasi lebih rendah. Model ini mungkin akan diposisikan di antara model asas dan Pro.

Penggunaan nama ‘Air’ dikatakan sebagai salah satu cara menjadikan ia lebih popular berbanding menggunakan nama mini atau Plus yang dilihat gagal. Penawaran model ini akan menjadikan ia lebih menarik berbanding dua model tersebut. Sekiranya laporan ini tepat, Apple akan memperkenalkan iPhone 17, iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max.
Rekaan serba baru

Selepas bertahun mengekalkan rekaan yang sama, Apple dikatakan bakal membawa perubahan ketara dari segi rekaan untuk siri iPhone 17. Menurut beberapa laporan, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max akan tampil dengan rekaan modul kamera baru yang berbentuk segi empat dengan bucu bulat.

Kedua-dua model masih mengekalkan tetapan tri-kamera belakang namun dengan bonggol kamera melintang untuk memberi lebih ruang untuk LiDAR dan lampu LED flash. Untuk iPhone 17 Air, ia akan menggunakan rekaan modul kamera yang mirip seperti Google Pixel namun lebih nipis dan hanya dilengkapi dengan satu kamera belakang sahaja.

Model asas iaitu iPhone 17 akan kekal dengan rekaan yang sama seperti iPhone 16, dua kamera menegak dalam bonggol berbentuk pil. Selain itu, semua model iPhone 17 akan menggunakan bingkai skrin yang lebih nipis dan kedudukan logo mungkin akan diubah sedikit lebih rendah berbanding kebiasaan.
Cip lebih berkuasa

Apple akan menggunakan cip yang lebih berkuasa pada siri iPhone 17, dihasilkan dengan teknologi binaan 3nm generasi baru dari TSMC iaitu 3NP. Teknologi ini dikatakan mampu menawarkan prestasi lebih pantas, kecekapan tenaga lebih baik serta ketumpatan transistor lebih tinggi berbanding generasi 3nm sebelumnya.

Seperti sebelum ini, cip baru ini akan diperkenalkan dalam dua pilihan iaitu cip A19 dan A19 Pro. Untuk iPhone 17 ia akan menggunakan cip A19, sementara iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max akan menggunakan cip A19 Pro. Bukan itu sahaja, tiga model iaitu iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max akan menggunakan RAM yang lebih besar iaitu 12GB RAM manakala iPhone 17 kekal dengan 8GB RAM sahaja.
Paparan 120Hz untuk model asas

Dua model asas iaitu iPhone 17 dan iPhone 17 Air mungkin akan dilengkapi dengan paparan 120Hz. Walau bagaimanapun, kedua-dua model tidak akan menyokong ciri ProMotion. Bermaksud, paparan untuk iPhone 17 dan iPhone 17 Air mungkin terhad kepada 60Hz, 90Hz atau 120Hz dan tidak menggunakan skrin jenis LTPO.

Berbeza dengan ciri ProMotion yang ditawarkan pada model Pro yang menyokong paparan adaptif dari 10Hz hingga 120Hz. Ciri ini menurunkan paparan ke paras lebih rendah apabila memaparkan kandungan statik sekaligus dapat menjimatkan penggunaan bateri. Selain itu, tidak dapat dipastikan adakah iPhone 17 dan iPhone 17 Air akan turut menyokong ciri Always On Display atau sebaliknya.
Sokongan paparan 120Hz pada iPhone 17 dan iPhone 17 Air mungkin akan menjadi faktor utama pengguna lebih memilih model tersebut. Paparan lebih tinggi ia memberikan pengalaman menatal dan animasi yang lebih lancar.
Sistem kamera dinaik taraf

Apple dijangka akan turut memberi tumpuan pada sistem kamera untuk siri iPhone 17. Menurut maklumat, semua model iPhone 17 akan dilengkapi dengan sensor swafoto yang lebih besar iaitu 24MP, menawarkan kualiti gambar yang lebih jelas dan terperinci.

Perubahan kamera yang paling ketara adalah pada iPhone 17 Pro Max. Dikatakan akan menjadi iPhone pertama menggunakan kamera 48MP pada semua sensor iaitu 48MP utama + 48MP Ultra Lebar + 48MP Telefoto dengan 5x optik zum. Bukan itu sahaja, model ini dijangka hadir dengan ciri eksklusif rakaman video sehingga 8K.
Selain itu, Apple mungkin akan perkenal dua ciri baru iaitu mechanical aperture yang membolehkan pengguna melaras aperture dan dual video recording membolehkan rakaman video kamera hadapan dan belakang dilakukan secara serentak.