Apple dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Google untuk menggunakan Gemini AI dalam usaha merevolusikan Siri.

Menurut laporan, perbincangan tersebut masih lagi di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad mengenainya. Ketika ini, Apple sedang mempertimbangkan untuk menggunakan model dalaman Siri atau bekerjasama dengan pihak ketiga.
Sebelum ini, Apple turut berbincang dengan dua lagi syarikat yang memfokuskan kepada AI iaitu Anthropic (Claude) dan OpenAI (ChatGPT). Google kini dikatakan sebagai calon utama untuk bekerjasama berbanding dua lagi syarikat AI.

Siri yang dilihat sedikit keterbelakang telah menjadikan pengguna iPhone merasakan ia tidak setanding pesaing lain dari segi kefahaman dan juga fleksibiliti. Berikutan itu, Apple menjanjikan Siri generasi baru adalah lebih pintar dan mampu menjalankan arahan yang lebih kompleks.
Walau bagaimanapun, berlaku kelewatan dalam ketibaan Siri generasi baru disebabkan oleh masalah teknikal. Justeru itu, Apple merasakan kerjasama dengan pihak ketiga dapat mempercepatkan proses tersebut namun terdapat perkara yang perlu diperhalusi seperti isu privasi.