Xiaomi mengumumkan sistem operasi baru mereka iaitu HyperOS 3.0 yang dibina berasaskan Android 16. Sistem operasi ini membawakan beberapa penambahbaikan untuk memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik.

HyperOS 3.0 hadir dengan rekaan yang lebih minimalis dengan ikon dan status bar serba baru. Ciri paling menarik yang diperkenalkan adalah Super Island, memaparkan maklumat masa nyata seperti media, notifikasi, status aplikasi dan lain-lain. Apa yang boleh dikatakan, Super Island mirip seperti Dynamic Island pada iOS.

Susunan pada skrin utama kini lebih fleksible yang membolehkan pengguna mengubahsuai mengikut citarasa. Aplikasi foto turut ditambah baik untuk menjadikan ia lebih efisien dan Xiaomi kini menggunakan aplikasi dialer sendiri menggantikan Google dialer.

Untuk kecerdasan buatan (AI), ia kini lebih pintar dan juga lebih responsif serta menyokong perkongsian data antara peranti Xiaomi dan Apple melalui AI Connect tanpa memerlukan sebarang sambungan fizikal. Antara peranti yang disokong melalui ciri ini adalah seperti iPhone, iPad dan Mac.
Seiring dengan pengumuman tersebut, Xiaomi turut berkongsi senarai peranti pertama yang akan menerima HyperOS 3.0 versi beta iaitu siri Xiaomi 15, Xiaomi 15s Pro, Redmi K80 Pro, Redmi K80 Pro Extreme Edition, Redmi Pad 7 Pro dan Redmi Pad 7S Pro 12.5.
Buat masa ini, pengumuman ini hanya tertumpu untuk pasaran China sahaja.