Close

3 perkara menarik dan kurang menarik mengenai siri Google Pixel 10

Siri Google Pixel 10 telahpun tiba ke pasaran tempatan, pengganti kepada model sebelum ini iaitu siri Pixel 9. Merupakan siri Pixel kedua yang ditawarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Siri Pixel 10 hadir dengan pelbagai peningkatan dan penambahbaikkan untuk menjadikan penawarannya lebih menarik berbanding sebelumnya.

3 menarik

Prestasi

Siri Pixel 10 dikuasakan dengan cip generasi baru yang dihasilkan sepenuhnya oleh Google iaitu Tensor G5. Berbeza dengan generasi sebelumnya yang dibina dengan teknologi Samsung, untuk Tensor G5 ia dibina dengan teknologi 3nm dari TSMC. Menurut Google, cip Tensor G5 menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 34% berbanding Tensor G4.

Cip Tensor G5 hadir dengan konfigurasi 8 teras dengan 1x Cortex-X4 (3.78GHz) + 5x Cortex-A725 (3.05GHz) + 2x Cortex-A520 (2.25GHz). Untuk GPU, Google tidak lagi menggunakan Mali Arm pada Tensor G5 sebaliknya menggunakan PowerVR D-Series DXT-48-1536.

Gambar : Android Authority

Google mendakwa, GPU ini menawarkan peningkatan prestasi sekitar 27% berbanding pada Tensor G4. Bukan itu sahaja, cip turut menawarkan peningkatan pada kemampuan kamera dan juga AI yang lebih cekap dan pintar. Cip ini turut dipadankan dengan teknologi memori LPDRR5X untuk RAM dan UFS 4.0 untuk storan dalaman.

Google Pixelsnap

Siri Pixel 10 menjadi peranti pertama dari Google yang menyokong Pixelsnap. Apa yang boleh dikatakan, Pixelsnap mirip seperti MagSafe yang ditawarkan oleh Apple. Pixelsnap dilengkapi dengan magnet terbina di bahagian dalam yang menyokong pengecasan tanpa wayar Qi2.

Pixelsnap membolehkan siri Pixel 10 menggunakan pelbagai aksesori bermagnet dengan lebih baik dan stabil. Selain itu, ia tidak memerlukan sebarang kerangka tambahan untuk menggunakan Pixelsnap. Seiring dengan sokongan Pixelsnap, Google turut membawakan pelbagai aksesori seperti Pixelsnap Case, Pixelsnap Ring Stand dan Pixelsnap Charger.

Sistem operasi

Tidak seperti siri Pixel 9 yang diperkenalkan dengan Android 14 bukannya Android 15 seperti sepatutnya, siri Pixel 10 tiba bersama dengan sistem operasi baru iaitu Android 16. Tidak dinafikan, Google antara pengeluar yang menawarkan pengalaman sistem operasi yang baik dengan antara muka yang kemas dan menarik.

Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan sokongan kemas kini yang panjang sehingga 7 tahun untuk Android dan juga keselamatan. Bermaksud, siri Pixel 10 akan tetap menerima kemas kini sehingga Android 23. Google turut memfokuskan kepada keupayaan kecerdasan buatan (AI) dengan membawakan ciri baru seperti Daily hub, Camera coach dan Magic cue.

3 kurang menarik

Rekaan

Jika anda mengharapan rekaan serba baru pada siri Pixel 10 ia mungkin sedikit mengecewakan. Siri Pixel 10 masih mengekalkan rupa bentuk atau rekaan yang sama seperti generasi sebelumnya. Tiada perubahan ketara kekal dengan reka bentuk sama dengan visor kamera belakang yang menonjol.

Google telah menggunakan rekaan kamera belakang yang hampir sama sejak siri Pixel 6. Walaupun, terdapat perubahan yang dilakukan namun ianya tidak begitu drastik atau ketara. Persoalannya, sampai bilakah Google akan menggunakan rekaan yang sama atau adakah ia telah menjadi rekaan ikonik untuk siri Pxiel.

Pengecasan

Di saat kebanyakkan pengeluar menyertakan pengecasan pantas yang lebih tinggi pada peranti andalan mereka. Namun berbeza dengan Google, kekal menggunakan teknologi pengecasan yang sama pada siri Pixel 10.

Siri Pixel 10 hanya menyokong pengecasan sehingga 45W sahaja dan pengecasan ini boleh dikatakan perlahan jika dibandingan dengan pengeluar lain. Sebagai contoh, model seperti Xiaomi, HONOR, vivo, OnePlus atau OPPO menawarkan pengecasan 65W dan ke atas pada peranti andalan mereka. Selain itu, siri Pixel 10 turut menyokong pengecasan tanpa wayar sehingga 25W.

Bukan itu sahaja, kapasiti bateri pada siri Pixel 10 juga boleh dikatakan agak rendah berbanding pengeluar lain yang menyokong kapasiti bateri 6000mAh atau 7000mAh. Kapasiti bateri paling besar pada siri Pixel 10 adalah Pixel 10 Pro XL dengan 5200mAh diikuti Pixel 10 dengan 4970mAh dan Pixel 10 Pro dengan 4870mAh.

Harga

Ini mungkin perkara yang anda akan bersetuju dengan kami. Yang mana, harga jualan untuk siri Pixel 10 boleh dikatakan agak tinggi atau sedikit lebih mahal. Jika dilihat pada peranti pesaing dalam kategori yang sama, harga jualannya berada pada paras yang sedikit lebih rendah.

Di Malaysia, harga jualan untuk Pixel 10 adalah RM3999, Pixel 10 Pro bermula RM4999 dan Pixel 10 Pro XL bermula RM5999. Namun begitu, sekiranya harga bukan penghalang siri Pixel 10 boleh dikatakan sebagai pilihan yang ideal.

ARTIKEL BERKAITAN