Walaupun tarikh pelancaran belum lagi diumumkan, namun vivo telah mendedahkan rekaan panel belakang untuk peranti andalan baru mereka iaitu siri X300.

Melalui pendedahan tersebut, memperlihatkan beberapa perubahan pada reka bentuk dan juga pilihan warna untuk X300 dan X300 Pro. Siri X300 hadir dengan rekaan sisi jenis rata dengan bucu yang lebih bulat berbanding generasi sebelumnya. Perubahan ini menjadikan perantai ini nampak lebih moden dan minimalis.
Selain itu, kedudukan lampu LED flash telah diubah diletakkan di bahagian atas kiri peranti berbanding di sebelah kanan pada siri X200. Kedua-dua model hadir dengan tetapan tri-kamera belakang, namun dengan susun atur kamera yang berbeza.

Siri X300 berkemungkinan akan dikuasakan dengan cip terbaru dari MediaTek iaitu Dimensity 9500. Kedua-dua model hadir dengan pilihan warna eksklusif iaitu Light Blue dan Light Pink untuk X300 dan Black dan Beige untuk X300 Pro.
Menurut beberapa laporan, siri X300 dijangka akan diperkenalkan pada Oktober 2025 ini di China, sebelum dilancarkan ke pasaran global.