Close

Cara semak dan tebus Budi Madani RON95 (BUDI95)

Seperti yang kita tahu, kerajaan akan melaksanakan sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 30 September 2025.

BUDI95 tersedia untuk semua warganegara Malaysia tanpa mengira pendapatan, mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik. Rakyat akan menikmati RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter dengan kuota bulanan 300 liter.

Seiring dengan itu, rakyat kini boleh menyemak status kelayakan untuk BUDI95. Terdapat beberapa cara untuk menyemak kelayakan antaranya melalui laman web rasmi BUDI95 atau melalui aplikasi mudah alih seperti Setel, Touch n Go, CaltexGo dan lain-lain. Untuk aplikasi mudah alih, anda perlu melakukan pengesahan terlebih dahulu sebelum boleh melakukan semakan.

BUDI95 tidak memerlukan sebarang pendaftaran namun memerlukan pengesahan MyKad untuk urusan pembelian melalui terminal pam atau kaunter stesen minyak. Selain itu, BUDI95 boleh ditebus atau digunakan melalui aplikasi mudah alih seperti melalui digital e-dompet TNG atau aplikasi syarikat minyak seperti Setel, Shell apps dan CaltexGo.

Pada hemat kami, pembelian atau penebusan melalui aplikasi syarikat minyak seperti Setel atau TNG adalah lebih mudah dan cepat. Pengguna hanya perlu melakukan pengesahan sekali sahaja dan selepas itu tidak lagi perlu menggunakan MyKad setiap kali mengisi minyak.

Bagi mengelakkan sebarang masalah semasa penebusan atau pembelian, kerajaan menasihatkan rakyat untuk memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan BUDI95.

ARTIKEL BERKAITAN