Syarikat induk kepada TikTok iaitu ByteDance dilaporkan sedang membangunkan platform penyedia perkhidmatan permainan yang akan dikenali sebagai GameTop.

GameTop bakal menjadi pesaing kepada penyedia permainan sedia ada seperti Steam dan Epic Store. Platform ini akan memberi penekanan kepada kandungan buatan pengguna (UGC), hab sosial bersepadu serta alat untuk pembangun permainan.
Selain itu, ByteDance dikatakan sedang menubuhkan pasukan operasi pengguna yang bertanggungjawab dalam perkembangan dan pertumbuhan platform tersebut. Antara ciri lain yang dijangka akan diperkenalkan seperti sistem tahap dan segmentasi pemain, ganjaran, serta lencana aktiviti untuk menggalakkan interaksi dalam platform.
GameTop berkemungkinan akan menjadi platform untuk mengedar dan menerbitkan permainan di bawah ByteDance. Malangnya, tiada maklumat yang dikongsi oleh ByteDance mengenai GameTop buat masa ini.