WhatsApp bakal memperkenalkan ciri baru yang dikenali sebagai ‘Message Request’ untuk memberikan pengguna lebih banyak kawalan pada mesej.

Ciri ini telahpun diuji melalui WhatsApp Beta untuk Android dengan nombor binaan 2.25.33.11. Ciri ini membolehkan pengguna menapis mesej daripada nombor yang tidak dikenali. Ciri ini akan diletakkan pada tetapan baru ‘who can message me’ dengan dua pilihan iaitu Everyone dan My Contacts.
Untuk Everyone, semua mesej dari kenalan yang tidak dikenali akan dipaparkan pada senarai sembang utama. Sementara untuk My Contacts pula, ia memberi kawalan yang lebih ketat, mesej dari nombor yang tidak dikenali akan diletakkan atau dipindahkan secara automatik ke dalam folder ‘Request’. Mesej tersebut tidak akan dipaparkan pada senarai sembang utama.
Folder request mirip seperti yang ditawarkan pada Instagram, mengasingkan mesej baru daripada kenalan yang tidak dikenali. Melalui folder ini, pengguna boleh melihat nama, gambar profil dan kandungan mesej sebelum memilih sama ada untuk membalas, memadam, melaporkan atau menyekat. Selepas mesej dibalas, ia akan dipindahkan secara automatik ke senarai sembang utama.
Ciri ini masih lagi dalam fasa ujian dan tidak dapat dipastikan bilakah ia akan tersedia pada semua pengguna.