OnePlus 15 telahpun diperkenalkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Berbeza dengan model sebelumnya, OnePlus 15 tiba dengan rekaan serba baru bersama spesifikasi yang lebih berkuasa.
Rekaan

OnePlus 15 hadir dengan rekaan serba baru dan menggunakan binaan yang lebih premium. Tiada lagi rekaan modul kamera bulat sebaliknya menggunakan modul kamera segi empat dengan sudut bulat. Sejujurnya, rekaan ini nampak lebih minimalis dan lebih segar berbanding model sebelumnya.

Selain itu, tiada lagi elemen melengkung yang digunakan pada skrin hadapan dan panel belakang. Untuk kali ini, OnePlus menggunakan rekaan skrin jenis rata dengan sisi jenis berkotak untuk memberikan keselesaan yang lebih baik dan ergonomik.


OnePlus 15 turut hadir dengan binaan yang lebih premium yang menggunakan teknologi MAO (Micro-Arc Oxidation), yang lebih mesra alam dan lebih tahan berbanding anodization biasa. OnePlus ditawarkan dalam tiga pilihan warna yang cukup menarik iaitu Sand Storm, Infinite Black dan juga Ultra Violet.
Skrin

OnePlus 15 hadir dengan skrin OLED LTPO bersaiz 6.78-inci dengan resolusi 1.5K. Menariknya, untuk kali ini ia hadir dengan sokongan paparan yang lebih tinggi iaitu 165Hz berbanding 120Hz pada model sebelumnya. Skrin peranti ini turut menyokong kandungan HDR10+, HDR Vivid dan juga Dolby Vision, untuk memberikan pengalaman menonton yang lebih imersif.

Bukan itu sahaja, OnePlus 15 kini menggunakan rekaan skrin jenis rata dengan bingkai yang lebih nipis iaitu 1.15mm sahaja, memberikan pengalaman skrin yang lebih baik. Rekaan skrin jenis rata menjadikan peranti ini lebih ergonomik dan mudah untuk mencari aksesori.

Selain itu, skrin peranti mempunyai ketahanan yang lebih baik kerana ia dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2.
Prestasi

OnePlus 15 dikuasakan dengan cip terbaru dari Qualcomm iaitu cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.1. Menurut OnePlus, cip ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 20% pada CPU,35% pada GPU dan 37% pada NPU.

Cip ini turut menjanjikan penggunaan kuasa yang lebih efisien iaitu 35% pada CPU dan 20% pada GPU. Skor antutu peranti mampu mencapai sehingga 4 juta, namun pada percubaan hanya mendapat skor sekitar 3.5 juta. Di atas kertas, cip ini menjanjikan prestasi pada tahap tertinggi untuk pelbagai tugasan dan juga permainan.
Kamera

Untuk kali ini, OnePlus 15 hadir dengan perubahan besar pada sistem kamera, paling ketara tiada lagi penjenamaan Hassleblad. OnePlus dikatakan menggunakan sistem pengimejan mereka yang tersendiri yang dikenali sebagai DetailMax Engine.

OnePlus 15 menggunakan sistem tiga kamera belakang dengan sensor utam 50MP Sony IMX906 + 50MP Telefoto ISOCELL JN5 + 50MP Ultra Lebar Omnivision OV50D dan swafoto ia menggunakan sensor 32MP. Peranti ini menyokong rakaman video sehingga 4K 120fps Dolby Vision HDR dan juga Log Video.
Bateri

OnePlus 15 dimuatkan dengan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 7300mAh, kapasiti bateri paling besar dalam sejarah peranti OnePlus setakat ini. Bateri ini menggunakan teknologi Silicon NanoStack yang menawarkan kecekapan yang lebih tinggi dan pengecasan yang lebih stabil.

Lebih menarik, teknologi ini mampu mengekalkan kesihatan bateri pada 80% selepas 4 tahun penggunaan. Sekali gus dapat mengurangkan kos penggantian dan memastikan prestasi peranti kekal konsisten dalam jangka masa panjang.Untuk pengecasan, OnePlus 15 ini menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 120W dan 50 AirVOOC.

Di Malaysia, OnePlus 15 dijual pada harga RM4399 dengan satu pilihan varian sahaja 16GB + 512GB. Tesedia dalam tiga pilihan warna iaitu Infinite Black, Ultra Violet dan Sand Storm. Bagi yang berminat, peranti ini boleh didapatkan di kedai atas talian seperti Shopee. Pembeli terawal akan menerima hadiah percuma bernilai RM369.