Apple dilaporkan sedang membangunkan HomePod mini dan AirTag generasi baru. Kedua-dua peranti ini dijangka akan diperkenalkan pada separuh pertama 2026.
AirTag generasi baru ini bakal membawakan pelbagai peningkatan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Antara peningkatan yang akan ditawarkan adalah seperti proses sambungan yang lebih mudah dan pantas, sistem penjejakan yang lebih tepat dan paparan tahap bateri yang lebih terperinci.

Sistem penjejakan pada AirTag baru ini dikatakan mampu memberikan lokasi yang lebih tepat walaupun dalam kawasan yang sesak atau semasa sedang bergerak. Apple mungkin akan menggunakan cip Ultra Wideband (UWB) baru untuk meningkatkan penjejakan.

Apple akan turut memperkenalkan HomePod mini versi naik taraf, tertumpu kepada bahagian dalaman. Model baru ini berkemungkinan akan menggunakan cip Apple S10 menggantikan cip S5 yang digunakan pada HomePod mini yang dilancarkan pada 2020.
Walaupun hadir dengan peningkatan prestasi yang lebih baik, namun HomePod mini berkemungkinan tidak menyokong ciri Apple Intelligence. Menjadikan peranti ini kekal sebagai pembesar suara pintar yang fokus kepada fungsi asas dan integrasi ekosistem Apple.