Apple dilaporkan sedang merancang untuk memperluaskan rantaian pembuatan iPhone dengan membawa proses pemasangan dan pembungkusan cip ke India.
Menurut maklumat, Apple telahpun memulakan perbincangan dengan beberapa syarikat semikonduktor di India. Walau bagaimanapun, perbincangan tersebut masih lagi diperingkat awal. Syarikat CG Semi antara syarikat yang dilaporkan telah melakukan perbincangan dengan Apple.

Untuk permulaan, kerjasama ini tertumpu pada cip berkaitan paparan seperti display driver IC (DDIC), bukannya cip utama Apple. Perkara ini dilihat selari dengan strategi Apple yang sering bermula secara berperingkat sebelum memperluaskan skala operasi kepada yang lebih besar.
Ketika ini, Apple memperolehi cip DDIC dari pembekal sedia ada seperti Samsung, Himax, LX Semicon dan Novatek, yang kebanyakannya berpangkalan di Korea Selatan, Taiwan dan China. Jika kerjasama ini mejadi kenyataan, ia bakal mengukuhkan lagi kedudukan India sebagai hab pembuatan teknologi.