HONOR Malaysia mengesahkan fon lipat generasi seterusnya iaitu Magic V6 akan tiba ke pasaran tempatan pada 4 Jun ini. Maklumat tersebut dikongsi Facebook rasmi HONOR Malaysia.

Sehubungan dengan itu, HONOR telahpun berkongsi beberapa maklumat mengenai Magic V6. Peranti ini bakal hadir dengan pilihan warna baru Ferghana Red untuk menjadikan ia lebih premium. Lebih menarik, peranti ini menjanjikan ketahanan engsel yang lebih baik mampu menunda pesawat Diamond DA42 seberat 1.25 tan sejauh 150 meter tanpa sebarang kerosakan fizikal.

Ketahanan ini disokong oleh Engsel Keluli Super HONOR yang menawarkan kekuatan tegangan industri sehingga 2,800 MPa dan telah melepasi ujian 500,000 kali lipatan.

HONOR Magic V6 dibina untuk pengguna yang mahukan fon lipat lasak dalam masa yang sama masih mampu memberikan pengalaman penggunaan yang baik untuk keperluan produktiviti. Selain itu, peranti ini dijangka hadir dengan spesifikasi yang dipertingkat bersama pelbagai ciri yang diintegrasi AI.
Seiring dengan pelancaran yang semakin hampir, HONOR dijangka akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai peranti ini dari masa ke semasa.