Apple dilaporkan bakal memperkenalkan program baru yang akan dikenali sebagai Apple Upgrade, pelan yang membolehkan pengguna membeli produk baru Apple secara ansuran.
Apple Upgrade dibangunkan dengan kerjasama dengan syarikat teknologi kewangan iaitu Klarna. Program ini menawarkan pilihan pembayaran ansuran sehingga 36 bulan untuk beberapa produk Apple terpilih. Menurut laporan, pelan pembayaran ini berfungsi seperti langganan dengan proses semakan kredit (soft credit check) akan dibuat terlebih dulu.

Melalui program ini, tempoh pembayaran bergantung kepada jenis peranti yang dipilih. Untuk iPhone dan Apple Watch tempoh bayaran ditetapkan selama 24 bulan, manakala iPad dan Mac pula tempoh bayaran ditetapkan sehingga 36 bulan. Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk menyelesaikan baki bayaran lebih awal untuk menaik taraf peranti baru atau memilih untuk memiliki peranti tersebut selepas pelan tamat.
Walau bagaimanapun, progam ini tidak tersedia pada semua produk Apple. Peranti seperti Apple Watch SE, iPad, iPhone 16 dan MacBook Neo tidak tersedia untuk Apple Upgrade. Perlindungan AppleCare turut tidak ditawarkan pada program ini berbeza dengan iPhone Upgrade Program.
Selain itu, Apple dijangka akan menamatkan penawaran iPhone Upgrade Program selepas Apple Upgrade diperkenalkan.