Penjual di TikTok Shop Malaysia bakal berdepan perubahan baru melibatkan caj penghantaran apabila SST sebanyak 6% akan dikenakan ke atas yuran penghantaran.

Perubahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 September 2026, susulan perubahan entiti logistik TikTok Shop Malaysia daripada Tokgistics Pte. Ltd. kepada TikTok Shop (Malaysia) Sdn. Bhd. Walau bagaimanapun, untuk tempoh pengenalan iaitu 1 hingga 6 September caj tersebut akan diserap oleh TikTok, dan bermula 7 September caj tersebut akan dikenakan pada penjual.

Menurut TikTok Shop, perubahan tersebut dibuat bagi memastikan layanan cukai terhadap perkhidmatan berkaitan penghantaran selaras dengan keperluan cukai semasa di Malaysia. SST 6% ini melibatkan perkhidmatan logistik berkaitan penghantaran, pengedaran dan pengangkutan barangan, dokumen atau bungkusan melalui platform TikTok Shop.
Caj SST sebanyak 6% juga boleh dikenakan ke atas pesanan yang tidak berjaya, termasuk caj penghantaran pergi dan caj penghantaran pemulangan. Selain itu, caj SST tambahan baru ini hanya dikenakan ke atas caj perkhidmatan penghantaran bukannya kepada harga jualan barang.