Close

Mac mini dengan cip M6 dan M5 Pro diumumkan – Harga bermula RM3799

Apple secara rasmi memperkenalkan Mac mini generasi baru yang dikuasakan dengan cip M6 dan M5 Pro. Model ini menawarkan peningkatan besar dari segi prestasi, grafik, AI serta sambungan.

Mac mini dengan cip M6 menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 40%, prestasi AI 4 kali ganda, prestasi grafik 2 kali ganda dan storan sehingga 2 kali ganda berbanding generasi sebelumnya. Cip M6 menggunakan CPU 12-teras dan GPU 12-teras, dengan setiap teras GPU dilengkapi Neural Accelerator. Ia turut mempunyai Neural Engine baharu dengan Dual 16-core Neural Engine.

Mac mini M6 turut hadir dengan konfigurasi memori bermula 16GB unified memory dan boleh mencapai sehingga 32GB unified memory dengan kelajuan 170GB/s. Apple mendakwa pemprosesan LLM dalam LM Studio meningkat sehingga sekitar 4.8 kali lebih pantas berbanding M4. Prestasi permainan dengan ray tracing turut meningkat 2 kali lebih pantas berbanding Mac mini M4.

Manakala untuk Mac mini dengan cip M5 Pro, ia menawarkan peningkatan prestasi yang lebih tinggi. Cip M5 Pro menggunakan konfigurasi CPU 18-teras dan GPU 20-teras, dengan GPU generasi baru yang mempunyai Neural Accelerators pada setiap teras.

Apple turut menggunakan ray tracing generasi ketiga untuk meningkatkan prestasi dalam tugasan seperti reka bentuk 3D, VFX dan pembangunan permainan. Mac mini dengan M5 Pro juga menyokong konfigurasi memeroi sehingga 64GB unified memory dengan kelajuan sehingga 307GB/s.

Spesifikasi ini membolehkan pengguna menjalankan model AI tempatan yang lebih besar, mengendalikan projek 3D yang kompleks, menyunting fail ProRes RAW serta memproses dataset bersaiz besar. Apple mendakwa pemprosesan LLM dalam LM Studio boleh menjadi sehingga 8.5 kali lebih pantas berbanding Mac mini dengan M2 Pro dan sehingga 4 kali lebih pantas berbanding M4 Pro.

Dari segi sambungan, kedua-dua model Mac mini kini menyokong Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6, dan Ethernet 2.5Gb dengan pilihan 10Gb Ethernet. Untuk bahagian hadapan, ia menyokong dua port USB-C yang menyokong USB 3 dan bicu audio 3.5mm. Untuk bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan tiga port Thunderbolt 4, manakala model M5 Pro menggunakan tiga port Thunderbolt 5. Terdapat juga, sokongan genlock melalui USB-C, yang membolehkan synchronisation tepat antara paparan dan kamera, termasuk iPhone 17 Pro.

Untuk pasaran Malaysia, Mac mini dengan cip M6 dijual pada harga bermula RM3799. Manakala Mac mini dengan cip M5 Pro dijual pada harga bermula RM7499. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipratempa bermula 27 Ogos 2026 dengan jualan pertama 22 September 2026.

ARTIKEL BERKAITAN