Close

MacBook Pro dengan skrin sentuh tiba di Malaysia dengan harga bermula RM11,999

Apple secara rasmi memperkenalkan MacBook Pro dengan skrin sentuh PROLED XDR, merupakan MacBook Pro pertama yang ditawarkan dengan sokongan skrin sentuh. Tiba dengan dua pilihan saiz iaitu 14-inci dan 16-inci.

MacBook Pro (PROLED XDR) menyokong kecerahan puncak sehingga 2000 nits untuk kandungan HDR dan SDR dengan nisbah kontras 10,000,000:1. Selain itu, ia turut menyokong paparan ProMotion 120Hz dan buat pertama kalinya, Dynamic Island dimuatkan pada MacBook Pro.

Sokongan skrin sentuh membolehkan pengguna berinteraksi secara terus tanpa perlu bergantung kepada papan kekunci atau trackpad. Apple menyatakan, teknologi skrin sentuh ini dibina terus ke dalam panel skrin bagi mengurangkan kependaman.

Dikuasakan dengan cip M5 Pro dan M5 Max yang menawarkan prestasi berkuasa sesuai untuk tugasan profesional. Dipadankan dengan RAM sehingga 128GB Unified Memory dan storan dalaman sehingga 1TB. Selain itu, Apple membawakan kembali logo Apple berlampu, kali terakhir ciri ini tersedia adalah sekitar 10 tahun yang lalu.

Untuk spesifikasi lain, MacBook Pro (PROLED XDR) dilengkapi dengan pelbagai pilihan sambungan seperti 3x Thunderbolt 5, HDMI, slot kad SDXC, MagSafe dan bicu audio 3.5mm. Sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6 dan Touch ID turut disertakan untuk log masuk yang lebih mudah dan selamat.

Untuk pasaran Malaysia, MacBook Pro (PROLED XDR) 14-inci dengan cip M5 Pro dijual pada harga bermula RM11,999 dan RM14,499 untuk model 16-inci. Manakala untuk MacBook Pro (PROLED XDR) 14-inci dengan cip M5 Max ia dijual pada harga bermula RM19,299 dan RM20,499 untuk model 16-inci.

Bagi yang berminat, pra-tempah boleh dibuat bermula 30 Oktober dengan jualan pertama akan bermula pada 6 November 2026.

ARTIKEL BERKAITAN