Berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat Google Pixel di Malaysia akhirnya tiba. Selepas siri Pixel 9 dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia. Sekaligus, memberikan gambaran peranti ini akan ditawarkan secara rasmi di Malaysia.

Peranti tersebut telah dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia pada 12 Julai 2024 untuk GZC4K (Pixel 9 Pro XL) dan GEC77 (Pixel 9 Pro). Sementara, GUR25 (Pixel 9) pula dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia pada 15 Julai 2024. Kesemua peranti tersebut didaftarkan di bawah VSTECS ASTAR SDN BHD.

Siri Pixel 9 dijangka hadir dengan cip Tensor G4 yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB RAM. Menggunakan skrin Actua Display bersaiz 6.3-inci untuk Pixel 9 dan Pixel 9 Pro. Manakala Pixel 9 Pro XL pula menggunakan skrin Actua Display bersaiz 6.8-inci. Untuk fotografi, Pixel 9 akan dilengkapi dengan tetapan dwi kamera 50MP + 48MP dan Pixel 9 Pro dan 9 Pro XL pula dilengkapi dengan tetapan tri-kamera 50MP + 48MP + 48MP.
Namun begitu, tiada maklumat mengenai harga jualan dan ketersediaan peranti ini di Malaysia. Terdapat laporan, peranti ini akan ditawarkan melalui Urban Republic.
Google Pixel tidak pernah ditawarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia sejak ia mula diperkenalkan pada 2017. Kali terakhir, Google menawarkan peranti mereka secara rasmi di Malaysia adalah melalui model Nexus, iaitu sebelum Google menjenamakan Nexus sebagai Pixel.