Close

Sony WH-1000XM6 tiba di Malaysia dengan harga RM2099

Sony secara rasmi mengumumkan headphone generasi baru mereka iaitu WH-1000XM6. Hadir dengan pelbagai peningkatan yang menyeluruh berbanding versi sebelumnya.

Sony WH-1000XM6 hadir dengan rekaan yang lebih ergonomik dan fleksible dengan headband kini lebih lebar untuk memberi keselesaan yang lebih baik. Peranti ini turut dilengkapi dengan engsel baru yang menggunakan bahan binaan dari logam, membolehkan ia dilipat seperti WH-1000XM4.

Bekas penyimpanan turut ditambah baik menggunakan rekaan yang kompak dengan penutup jenis magnet bukan lagi zip. Sony WH-1000XM6 dilengkapi dengan cip pemprosesan Sony QN3 yang menjanjikan pemprosesan pembatalan hingar 7 kali lebih pantas berbanding Sony QN1 yang digunakan pada WH-1000XM5.

Pemacu 30mm jenis dinamik dimuatkan yang digabungkan dengan 12 mikrofon untuk menyokong keupayaan ANC yang lebih baik. Sony dikatakan telah bekerjasama dengan jurutera mastering terkenal seperti Randy Merrill dan Michael Romanowski dalam menghasilkan bunyi WH-1000XM6.

Untuk sokongan audio, peranti ini menyokong Hi-Res Audio, LDAC, DSEE Extreme dan 360 Reality Audio. Dari segi sambungan, ia boleh disambungkan secara Bluetooth atau melalui bicu audio 3.5mm. Sony menyatakan bateri peranti ini mampu bertahan sehingga 30 jam dengan pengecasan selamat 3 minit ia menawarkan penggunaan sehingga 3 jam.

Untuk pasaran Malaysia, Sony WH-1000XM6 dijual pada harga RM2099. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah melalui laman web rasmi Sony. Terdapat 3 pilihan warna yang ditawarkan iaitu Black, Platinum Silver, dan Midnight. Setiap pra-tempahan akan menerima premium headphone stand secara percuma bernilai RM199 dan TnG eWallet bernilai RM50 sekiranya produk didaftarkan sebelum 20 Julai 2025.

ARTIKEL BERKAITAN