Trump Organization yang diterajui oleh anak-anak kepada Presiden Amerika Syarikat iaitu Donald Trump memperkenalkan telefon pintar yang dikenali sebagai T1 Phone.

T1 Phone dikatakan sebagai ‘Buatan Amerika Syarikat’ dan terdapat rekaan bendera Amerika Syarikat di panel belakang. Hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.8-inci yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 2MP + 2MP dan swafoto 16MP.

Dimuatkan dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 20W dan menjalankan sistem operasi Android 15. Tiada maklumat mengenai cip yang digunakan pada T1 Phone. Dari segi harga jualan, T1 Phone ditawarkan pada harga $499 (RM2119) dan ditawarkan dalam pilihan warna emas.

Selain itu, Trump Mobile turut memperkenalkan pelan prabayar khas dengan nama The 47 Plan, bersempena dengan status Trump sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat. Pelan ini ditawarkan pada harga langganan $47.45 (RM201.33) sebulan.
Namun begitu, terdapat isu berkenaan dengan ‘Buatan Amerika Syarikat’ kerana hampir semua telefon pintar di AS dihasilkan di negara seperti China, Korea Selatan, India dan Vietnam. Pada ketika ini, tiada maklumat jelas mengenai syarikat yang bertanggungjawab dalam penghasilan T1 Phone.