Tecno secara rasmi memperkenalkan dua peranti baru di bawah siri Pova 7 iaitu Pova 7 dan Pova 7 Pro. Kedua-dua peranti ini hadir dengan pakej yang menarik bersama dengan rekaan unik yang dipanggil sebagai Delta light interface.

Perkara menarik mengenai pada Pova 7 dan Pova 7 Pro adalah pada delta light interface, mirip seperti Nothing glyph interface. Diletakkan di sekeliling modul kamera yang berbentuk segi tiga dan mengandungi 104 lampu LED mikro. Boleh digunakan untuk notifikasi, muzik, pengecasan dan banyak lagi. Turut boleh mengubah suai delta light interface mengikut kesesuaian atau citarasa pengguna.
Selain itu, kedua-dua peranti ini berkongsi beberapa spesifikasi yang sama seperti dikuasakan dengan cip Dimensity 7300 Ultimate, bateri 6000mAh, pengecasan 45W berwayar dan menjalankan sistem operasi HiOS 15 berasaskan Android 15 dengan DeepSeek serta pembantu maya Ella AI Assistant.

Pova 7 Pro hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci yang menyokong paparan 144Hz dengan kecerahan puncak 4500 Nits. Menggunakan tetapan dwi kamera belakang dengan sensor 64MP + 8MP Ultra Lebar dan swafoto 8MP. Selain itu, ia menyokong pengecasan 30W tanpa wayar dan pengimbas cap bawah skrin.

Manakala untuk Pova 7, ia hadir dengan skrin IPS LCD bersaiz 6.78-inci yang menyokong paparan 144Hz dan kecerahan puncak 900 nits. Menggunakan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP dan swafoto 13MP.
Di India, Pova 7 dijual pada harga bermula sekitar ₹14,999 (RM845) sementara untuk Pova 7 Pro pula dijual pada harga bermula sekitar ₹18,999 (RM1070).