Jenama kenderaan elektrik (EV) popular dari China iaitu BYD, kini sedia untuk menawarkan satu lagi pilihan model di bawah siri ATTO untuk pasaran tempatan. Model baru yang dimaksudkan adalah BYD Atto 2.

BYD Atto 2 merupakan sebuah SUV kompak, hadir dengan kuasa 130kW dengan tork 290 Nm yang mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 7.9 saat. Dimuatkan dengan bateri 51.13 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 410 km (NEDC).

Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas DC 82 kW dan pengecasan AC 7 kW. Untuk pengecasan DC, ia mampu mengecas dari 30% hingga 80% hanya dalam kurang dari 30 minit. Sistem inforia pada BYD Atto 2 ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem swapandu tahap 2, kamera pemantauan 360 darjah, 6 beg udara, digital key NFC, Vehicle to Load (V2L) dan sebagainya. BYD Atto 2 turut mempunyai ruang bagasi yang luas iaitu sehingga 1340 liter.

Untuk pasaran tempatan, BYD Atto 2 dijual pada harga RM100,000 dan tersedia dengan tiga pilihan warna iaitu Breeze Green, Harbour Grey dan Ski White. Dari segi jaminan, ia didatangkan dengan jaminan selama 6 tahun atau 150,000 km, untuk bateri ia mempunyai jaminan selama 8 tahun atau 160,000 km dan jaminan pacuan elektrik selama 8 tahun atau 150,000 km.
Untuk 800 pelanggan pertama, BYD ATTO 2 ditawar dengan pakej pemilikan mudah bernilai sehingga RM13,500 di mana bayaran ansuran RM0 untuk 6 bulan pertama (eksklusif bersama Bank Panel Sime Motors). Pengecas dinding untuk rumah landed diberi secara percuma. Sementara, untuk penghuni kediaman bertingkat pula diberi pakej Sime Platinum 4+ oleh Power Up.