Xiaomi hanya memerlukan seminggu sahaja untuk melepasi angka jualan 1 juta unit untuk siri Xiaomi 17. Peranti tersebut telah diperkenalkan di China pada hujung bulan lalu, merupakan peranti pertama di dunia menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Perkara tersebut dikongsi oleh Presiden Xiaomi iaitu Lu Weibeng. Menurut beliau, siri Xiaomi 17 telah melepasi jualan 1 juta unit hanya dalam masa seminggu selepas pelancarannya. Pencapaian ini dikatakan yang terpantas dalam sejarah Xiaomi buat setakat ini.

Berikutan dari permintaaan yang tinggi, Xiaomi ketika ini sedang meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran. Siri Xiaomi 17 tiba dengan tiga pilihan model iaitu Xiaomi 17, Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max.

Untuk model Pro, ia hadir dengan skrin kedua yang diletakkan pada panel belakang bersaiz 2.9-inci AMOLED 120Hz. Skrin kedua ini menyokong pelbagai kemampuan selain memperlihatkan notifikasi. Siri Xiaomi 17 hadir dengan sistem operasi baru iaitu HyperOS 3 yang berasaskan Android 16. Sistem operasi ini hadir dengan rekaan yang lebih minimalis dengan ikon dan status bar serba baru.