Close

iPad Pro dengan cip M5 tiba di Malaysia dengan harga bermula RM4499

Apple secara rasmi memperkenalkan iPad Pro baru yang dikuasakan dengan cip Apple M5, ditawarkan dengan dua pilihan saiz skrin iaitu 11-inci dan 13-inci.

iPad Pro menggunakan panel Ultra Retina XDR dengan teknologi Tandem OLED yang menggabungkan dua panel OLED untuk meningkatkan tahap kecerahan puncak sehingga 1600 nits. Dikuasakan dengan cip Apple M5 yang menawarkan peningkatan prestasi, grafik dan juga AI yang lebih berkuasa.

Menurut Apple, prestasi grafik pada cip Apple M5 adalah 6.7 kali lebih pantas berbanding iPad Pro M1 untuk rendering 3D. Manakala untuk prestasi AI, ia 3.5 kali lebih pantas berbanding iPad Pro M4. Apple menggunakan cip N1 untuk sambungan Wi-Fi 7 dan C1X modem yang menawarkan kelajuan selular 50% lebih pantas.

Selain itu, ia turut menyokong teknologi pengecasan yang lebih pantas yang mampu mengecas 50% hanya dalam masa 30 minit. Kekal menggunakan kamera belakang 12MP yang dipadankan dengan sensor LiDAR. Manakala untuk swafoto, ia menggunakan kamera 12MP Ultra Lebar yang turut menyokong fungsi Center Stage.

Di Malaysia, iPad Pro M5 dijual pada harga bermula RM4499 untuk 11-inci dan RM5799 untuk 13-inci. Ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu space black dan silver.

ARTIKEL BERKAITAN