Samsung telahpun memperkenalkan fon tri-lipat pertama mereka iaitu Galaxy Z TriFold. Peranti ini telahpun ditawarkan di beberapa pasaran dengan harga jualan sekitar KRW 3,594,000 (RM9948).

Seiring dengan ketibaannya, kos penggantian untuk peranti ini turut dikongsi. Menurut laporan, kos penggantian skrin lipat utama iaitu inner folding display untuk Galaxy Z TriFold di Korea adalah sekitar KRW 1,657,500 (RM4596). Sekali gus, menjadikan ia kos penggantian skrin telefon paling mahal untuk peranti Samsung buat setakat ini.
Kos penggantian tersebut dilihat sesuai dengan teknologi engsel yang digunakan oleh Samsung lebih kompleks berbanding peranti dengan skrin dwi-lipat. Teknologi ini memerlukan panel fleksibel bersaiz besar dengan struktur mekanikal yang lebih rumit, meningkatkan kos pengeluaran dan pembaikan.
Namun begitu, kos penggantian skrin luar atau cover display adalah jauh lebih murah iaitu sekitar KRW 137,000 (RM380) sahaja. Perbezaan harga kos penggantian ini memberikan gambaran betapa mahal dan rumitnya teknologi skrin tri-lipat tiga yang digunakan.
Dengan kos penggantian yang tinggi, pengguna bukan hanya perlu mengeluarkan modal yang besar namun perlu mengendalikan peranti ini dengan lebih berhati-hati semasa penggunaan harian.