Tahun 2025 mungkin boleh dikatakan sebagai tahun yang cukup menarik dengan pelbagai teknologi diperkenalkan. Bukan lagi perubahan atau peningkatan kecil yang dibawakan, tetapi perubahan yang besar yang membawa kepada satu lagi fasa baru.
Teknologi cip 2nm

Dunia teknologi mudah alih dikejutkan dengan pengumumancip 2nm untuk fon pertama dari Samsung melalui Exynos 2600. Kita menjangkakan Qualcomm atau Apple akan menjadi pengeluar pertama menggunakan teknologi ini tapi sebaliknya.


Peralihan daripada teknologi 3nm kepada 2nm bukan sekadar pengecilan saiz sahaja, tetapi melibatkan perubahan seni bina yang mendalam untuk menangani keperluan kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks. Cip ini dihasilkan menggunakan teknologi Samsung Foundry 2nm GAA (Gate-All-Around) dan menggunakan konfigurasi 10 teras dengan seni bina Arm v9.3.

Menurut Samsung, cip ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 39% dan kecekapan tenaga lebih baik. Menariknya, cip ini turut dilengkapi dengan teknologi Heat Path Block (HPB) yang direka untuk menyalurkan haba dengan lebih cekap. Secara asasnya, cip 2nm membawakan pelbagai peningkatan merangkumi pretasi, bateri, keupayaan kecerdasan buatan, kemampuan kamera dan banyak lagi.
Teknologi liquid cooling system

Buat pertama kalinya teknologi liquid cooling system dimuatkan pada fon melalui model RedMagic 11 Pro. Sistem penyejukan cecair ini adalah sama seperti digunakan pada PC dan ia dipanggil sebagai AquaCore Cooling System.

Sistem penyejukan cecair ini dipadankan dengan plat vapor chamber bersama dengan kipas penyejuk yang mampu berpusing pada kelajuan 24,000 rpm. Gabungan ini menjanjikan suhu peranti sentiasa berada pada paras yang optimum.

Namun apa yang lebih menarik, aliran atau pergerakkan cecair untuk sistem penyejukan tersebut boleh dilihat melalui panel belakang. Cecair tersebut bergerak melalui saluran mikro dalam plat khas, menyerap haba dari kawasan panas dan membawanya ke kawasan yang lebih sejuk untuk pelesapan haba yang sekata.
Sistem audio dengan subwoofer

POCO dengan kerjasama BOSE memperkenalkan fon yang dilengkapi dengan sistem audio dengan subwoofer melalui model F8 Ultra. Pengenalan ini menjadikan F8 Ultra sebagai fon pertama yang di dunia hadir dengan subwoofer.

Sistem audio dari Bose ini menawarkan pengalaman audio yang lebih terperinci dan lebih mendalam. Menggunakan sistem audio 2.1 channel dengan subwoofer terbina yang diletakkan pada bahagian modul kamera. Secara keseluruhan, peranti ini dilengkapi dengan tiga sistem pembesar suara dengan dua pembesar suara dan satu subwoofer.

Apa yang boleh dikatakan, POCO telah menetapkan satu standard baru dalam kualiti audio pada fon dengan memperkenalkan teknologi subwoofer, menawarkan pengalaman audio yang jauh lebih baik meninggalkan pesaingnya.
Pengecasan magnetik Qi2.2

Teknologi pengecasan magnetik Qi2.2 diperkenalkan untuk menyeragamkan ekosistem untuk aksesori magnetik. Walaupun mula diperkenalkan pada 2023, namun versi yang lebih baik iaitu Qi2.2 dan produk hanya tiba pada 2025. Secara asasnya, teknologi Qi2 ini diinspirasikan daripada MagSafe yang dibangunkan oleh Apple.

Walau bagaimanapun, Qi2.2 adalah versi yang lebih baik berbanding MagSafe dan ia lebih universal. Magnet yang digunakan oleh teknologi ini adalah lebih kuat untuk memastikan koil sentiasa tepat. Selain itu, pengecasan tanpa wayar Qi2.2 adalah lebih pantas dan juga lebih efisien, mampu mencapai sehingga 25W tanpa menyebabkan fon menjadi panas.

Dengan teknologi ini, aksesori magnetik dengan ciri ‘Snap-On’ boleh digunakan secara terus tanpa memerlukan sebarang aksesori tambahan. Siri Google Pixel 10 boleh dikatakan sebagai peranti terawal yang menyokong teknologi Qi2.