Seiring dengan ketibaan iPhone 17e ke pasaran tempatan, Apple turut menawarkan iPad Air baru dengan cip M4.

iPad Air dengan cip M4 menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 30% lebih pantas berbanding iPad Air M3. Sesuai untuk menjalankan pelbagai tugas kreatif atau produktif serta menyokong pelbagai ciri kecerdasan buatan Apple Intelligence.

Untuk varian selular, Apple menggunakan modem rekaan sendiri iaitu Apple C1X, modem yang sama digunakan pada iPhone Air. Selain itu, cip Apple N1 turut dimuatkan untuk sokongan WiFi 7 dan Bluetooth 6 pada iPad Air M4.

Seperti model sebelumnya, iPad Air M4 turut ditawarkan dengan 2 pilihan saiz iaitu 11-inci dan 13-inci. Spesifikasi lain yang turut dimuatkan seperti port pengecasan USB-C, kamera 12MP Center Stage dan 12MP kamera belakang. Selain itu ia turut menyokong Apple Pencil Pro, Apple Pencil (USB-C) dan Magic Keyboard.
Harga jualan untuk iPad Air M4 di Malaysia bermula RM2799 untuk 11-inci dan RM3699 untuk 13-inci. Boleh dipra-tempah bermula 4 Mac 2026 dengan jualan pertama akan bermula pada 11 Mac 2026.