Google membawakan beberapa penambahbaikan pada aplikasi Google Maps dengan memperkenalkan Ask Maps dan Immersive Navigation.

Seperti namanya, Ask Maps membolehkan pengguna bertanya apa sahaja mengenai sesuatu tempat dalam bahasa lazim atau biasa. Sebagai contoh, pengguna boleh bertanya soalan seperti lokasi menarik dalam sesuatu tempat atau di mana taman permainan awam. Seterusnya, Maps akan memberi jawapan yang relevan berdasarkan kepada data 300 juta lokasi yang telah dikumpul daripada 500 juta pengguna.
Ciri Ask Maps ini dikuasakan oleh Gemini yang mampu memberi jawapan dalam bentuk perbualan.

Manakala, Immersive Navigation pula menawarkan pengalaman navigasi 3D yang lebih jelas. Paparan 3D ini akan memperlihatkan bangunan, jejambat dan bentuk muka bumi dalam peta seperti situasi sebenar. Lorong jalan, lintasan pejalan kaki, lampu isyarat dan papan tanda berhenti akan dipaparkan dengan lebih jelas.

Ketibaan ciri ini dapat membantu pemandu memahami keadaan laluan dengan lebih jelas tanpa perlu bergantung kepada arahan teks. Buat masa ini, ciri ini hanya tersedia untuk pengguna Amerika Syarikat sahaja.