Samsung dilapor bakal menamatkan atau menghentikan jualan Galaxy Z TriFold tidak lama lagi.

Menurut laporan, Samsung dikatakan bakal menamatkan jualan domestik Galaxy Z TriFold di Korea Selatan bermula 17 Mac 2026 iaitu selepas tiga bulan ia diperkenalkan. Umum mengetahui, Galaxy Z TriFold ditawarkan pada kuantiti terhad dan hanya tersedia di beberapa pasaran sahaja.

Walaupun jualan di Korea Selatan bakal dihentikan, namun untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) peranti tersebut masih lagi ditawarkan dengan konsep selagi stok sedia ada masih ada. Sebelum ini, terdapat laporan lain mendedahkan peranti tersebut sangat sukar untuk dibeli kerana stok yang sangat terhad.

Di Korea Selatan, unit yang ditawarkan sekitar 2000 hingga 3000 unit, manakala untuk pasaran global hanya sekitar 20,000 unit sahaja. Dengan penawaran yang terhad, Samsung dikatakan hanya mahu memperlihatkan kemampuan mereka dalam segmen fon lipat. Secara keseluruhan, pelancaran Galaxy Z TriFold boleh dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.
Sekiranya laporan ini tepat, Samsung berkemungkinan sedang menilai semua strategi untuk model Galaxy Z TriFold sebelum memperkenalkan generasi yang lebih baik pada masa akan datang.