Close

Sony FX5 diumumkan – Kamera Cinema Line baru dengan Open Gate Recording

Sony secara rasmi memperkenalkan FX5 sekaligus menggantikan model sedia ada iaitu FX3. Tampil dengan pelbagai peningkatan yang lebih menarik berbanding model sebelumnya.

Sony FX5 merupakan kamera terbaru dalam siri Cinema Line dengan sokongan ciri yang lebih profesional untuk penggambaran filem dan produksi video. Menggunakan sensor full-frame 16.6MP Exmor RS CMOS bertindan (stacked). Dipadankan dengan pemproses BIONZ XR2 serta cip AI terbina untuk memberikan prestasi yang lebih baik pada fokus dan pemprosesan imej.

Ciri paling menarik pada FX5 ialah sokongan Open Gate Recording, yang membolehkan keseluruhan sensor digunakan untuk merakam video dalam nisbah 3:2. Memberi lebih fleksibiliti ketika proses suntingan, terutama untuk menghasilkan video menegak.

Satu lagi kelebihan pada FX5 adalah ia mampu merakam X-OCN RAW 16-bit secara dalaman, tanpa memerlukan perakam luaran. Format ini menawarkan lebih banyak maklumat warna berbanding RAW 12-bit dalam masa yang sama menggunakan ruang storan yang lebih efisien.

FX5 juga menjadi kamera pertama dalam siri FX yang menyokong Dual Gain Shooting, teknologi yang menggabungkan bacaan gain rendah dan tinggi bagi menghasilkan julat dinamik lebih luas serta hingar (noise) yang lebih rendah.

Kamera ini menyokong rakaman sehingga 5K pada 60fps dan 4.5K pada 120fps. Turut dilengkapi dengan sistem Triple Base ISO dengan tiga tahap sensitiviti ISO 800, ISO 4000 dan ISO 12,800. Untuk spesifikasi lain, FX5 dilengkapi dengan skrin sentuh bersaiz 3.5-inci 2.76 juta titik, EVF OLED boleh tanggal 3.68 juta titik dengan kecerahan puncah sehingga 2500 nits, 2x port USB-C., WiFi 6E dan 2xslot kad CFexpress Type A/UHS-II SD.

Di Malaysia, Sony FX5 ditawarkan pada harga bermula RM22,999 untuk badan sahaja dan RM25,999 untuk badan dan XLR handle. Bagi yang berminat, Sony telahpun membuka pra-tempahan untuk FX5, namun tiada maklumat mengenai tarikh jualan rasmi di Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN