Waze menafikan dakwaan berkaitan aplikasi mereka mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploatasi data peribadi pengguna.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas kerajaan Malaysia mengeluarkan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze untuk penjawat awam yang berkuat kuasa serta merta. Larangan tersebut dikeluarkan untuk melindungi maklumat kerajaan serta data peribadi pengguna serta kebimbangan aplikasi tersebut yang terikat dengan undang-undang Israel.

Walau bagaimanapun, Waze menafikan dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar sama sekali. Waze menegaskan operasi mereka tertakluk kepada dasar privasi yang ketat bagi melindungi data pengguna serta mematuhi piawaian perlindungan data peringkat global.
Dengan pelaksanaan larangan ini, kerajaan mencadangkan TuJu sebagai pilihan navigasi untuk penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi. Namun begitu, larangan tersebut hanya melibatkan penjawat awam dan tidak terpakai untuk orang awam.
Selain itu, kerajaan Malaysia belum memperincikan sama ada larangan tersebut akan diperluas kepada aplikasi atau perkhidmatan digital lain yang mempunyai kaitan dengan Israel.