NVIDIA dilaporkan telah menghentikan penghantaran pelayan AI (AI Server) ke empat negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Langkah tersebut diambil susulan kawalan eksport baru yang diperketatkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan, pengeluar pelayan seperti Dell dan Supermicro telah memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia pesanan mereka tidak dibenarkan untuk dihantar buat masa ini, atas arahan Nvidia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan adakah arahan ini bersifat sementara atau kekal.
Ketika ini, NVIDIA dan rakan pengeluarannya sedang mencari jalan untuk mematuhi peraturan eksport baru Washington. Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia, dikatakan menjadi laluan atau lokasi pilihan syarikat AI dari China untuk mendapatkan akses kepada cip NVIDIA berkuasa tinggi, berikutan sekatan eksport ke China dihadkan oleh AS.
Oleh yang demikian, AS memperkenalkan peraturan baharu bagi mengekang kaedah tersebut, termasuk mewajibkan penyedia cloud mendapatkan lesen dalam tempoh 90 hari serta perlu membuktikan pengguna akhir mereka tidak melibatkan entiti yang disekat.
Perkembangan ini berpotensi memberi kesan besar kepada industri pusat data dan AI di Asia Tenggara, khususnya Malaysia dan Indonesia yang menerima pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur AI.