Xiaomi Malaysia kini sedia untuk menawarkan peranti baharu dari kelas permulaan untuk pasaran tempatan. Peranti baharu yang dimaksudkan adalah Redmi 12, tampil dengan pelbagai peningkatan dengan tanda harga yang mampu milik.
Untuk spesifikasi, Redmi 12 hadir dengan skrin FHD+ bersaiz 6.7-inci yang turut menyokong paparan 90Hz. Dijana dengan cip MediaTek Helio G88 yang dipadankan dengan RAM sehingga 8GB dan storan dalam sehingga 256GB.
Dari segi fotografi, peranti ini dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP ultra lebar + 2MP makro. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 8MP. Bateri 5000mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 18W.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan adalah seperti bicu audio 3.5mm, panel belakang jenis kaca, penarafan IP53, pengimbas cap jari pada butang kuasa dan IR Blaster.
Untuk pasaran Malaysia, Redmi 12 dijual pada harga RM599 untuk 4GB + 128GB dan RM699 untuk 8GB + 256GB. Ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Midnight Black, Polar Silver dan Sky Blue.
Bagi yang berminat, Redmi 12 akan mula dijual bermula pada 15 Julai ini di semua pengedar rasmi Xiomi atau secara atas talian melalui Shopee dan Lazada. Pembelian terawal akan menerima diskaun sebanyak RM100 untuk varian 4GB + 128GB.