Umum sedia maklum bahawa pihak Daihatsu telahpun mengaku bahawa mereka memalsukan data ujian keselamatan yang dijalankan untuk permohonan kelulusan keselamatan dan terdapat 88,000 unit kenderaan yang terlibat termasuk Toyota Yaris Ativ (Vios), Toyota Agya, Perodua Axia dan sebuah lagi model Daihatsu.
Isu ini telah mendapat respon yang kurang baik dari rakyat Malaysia dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad turut mengeluarkan kenyataan beliau terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan.
Menurut beliau, “Memandangkan kami menerima berita tentang penyelewengan prosedur oleh Daihatsu ini, kami segera menghubungi badan-badan ini untuk menentukan sama ada standard keselamatan Perodua Axia telah terjejas. Kami diberi jaminan bahawa walaupun pendedahan oleh Daihatsu, pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia adalah utuh,”
Tambahnya lagi, “Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan kami berkenaan perkara ini dan kami ingin memastikan maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kami disahkan oleh badan profesional. Kami akan terus memantau keadaan ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkara ini apabila ada perkembangan. “