Close

Ulasan HONOR Magic Vs – Lebih lasak, lebih mewah dan lebih mampu milik

Segmen peranti boleh-lipat secara tiba-tiba menjadi perhatian selepas kebanyakkan pengeluar mula melancarkan peranti boleh lipat mereka. Salah satu pengeluar yang menjadi tumpuan untuk segmen ini adalah HONOR melalui Magic Vs.



Kehadiran HONOR Magic Vs di pasaran Malaysia dilihat sebagai salah satu pencabar kepada Samsung Galaxy Z Fold4 yang boleh dianggap sebagai pendahulu kepada segmen tersebut di pasaran Malaysia pada ketika ini. 


Berikutan dari itu, HONOR melalui Magic Vs telah hadir dengan pelbagai penambahbaikan dan peningkatan yang menyeluruh untuk mencabar pendahulu segmen tersebut.

Rekaan

Antara perkara yang menarik mengenai HONOR Magic Vs semestinya adalah berkenaan rekaan. Membawakan rekaan yang lebih premium, lebih nipis dan juga lebih ringan. Yang mana beratnya adalah sekitar 261g dan tebal hanya 12.9mm sekaligus menjadikan ia sebagai peranti boleh-lipat paling ringan yang ada di industri ketika ini. 


Dengan rekaan yang nipis dan ringan ia berjaya memberikan keselesaan dan juga keyakinan untuk mengendalikan peranti ini dalam apa jua keadaan. Selain dari ringan dan nipis, peranti ini turut hadir dengan teknologi engsel yang termaju dengan menggunakan bahan binaan dari gred aeroangkasa yang mampu bertahan sehingga 400,000 lipatan bersamaan lebih dari 10 tahun penggunaan.


Teknologi baharu pada rekaan engsel ini membolehkan HONOR Magic Vs dapat dilipat dengan rapat tanpa meninggalkan sebarang ruang seperti pada Samsung Galaxy Z Fold4. Untuk keselesaan ketika membuka dan menutup kami rasakan yang Honor Magic Vs adalah lebih selesa dan lebih firm berbanding Samsung Galaxy Z Fold4. Namun begitu, peranti ini tidak boleh dibuka dengan hanya sebelah tangan sahaja.


Secara keseluruhan apa yang boleh kami katakan mengenai rekaan pada HONOR Magic Vs adalah sangat baik dan sangat kukuh. Tidak ketinggalan, rekaan bingkai jenis rata yang dipadankan dengan panel belakang dengan kemasan jenis matte turut memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan selesa apabila dipegang biarpun tanpa kerangka pelindung.


Skrin


Untuk spesifikasi skrin, HONOR Magic Vs dilengkapi dengan skrin dalaman bersaiz 7.9-inci OLED dengan paparan 90Hz, untuk skrin luaran pula ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.45-inci OLED dengan paparan 120Hz. Ia juga menyokong 1.07 billion color dan juga DCI-P3 wide color gamut.


Perkara yang kami suka mengenai skrin peranti ini adalah ketika dilipat ia kelihatan seperti telefon biasa dengan skrin luar yang besar bersaiz 6.45-inci. Yang mana, ia menjadikan skrin luar peranti ini lebih berguna untuk melakukan pelbagai perkara tanpa perlu membuka lipatan. Selain itu, skrin luar peranti ini juga selesa untuk digunakan dengan sebelah tangan. Keupayaan skrin luar peranti ini sangat baik, lancar, responsif dan selesa ketika digunakan.


Namun terdapat perkara yang kami kurang suka mengenai skrin luar peranti ini, rekaan skrin pada bahagian kanan peranti ini melengkung menjadikan tidak simetri apabila ia dilipat. Walaubagaimanapun, ia hanya pendapat peribadi anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.


Untuk skrin dalaman, ia menggunakan skrin bersaiz 7.9-inci yang lebih besar berbanding Samsung Galaxy Z Fold4. Ia turut menawarkan pengalaman skrin yang baik dengan nisbah skrin 90.%, penghasilan warna yang baik dan terang. Dari segi lipatan skrin, peranti ini masih lagi tidak berjaya menyembunyikan dengan baik, masih terdapat kesan lipatan yang agak ketara tetapi lebih baik berbanding pada Samsung Galaxy Z Fold4.


Sistem operasi dan penggunaan

Untuk sistem operasi, HONOR Magic Vs hadir dengan Magic OS 7.1 yang berasaskan Android 13. Secara keseluruhan, sistem operasi yang digunakan pada peranti hanya boleh dikatakan sebagai agak baik. Dengan ketiadaan fungsi yang dibawakan oleh Google pada Android 13 seperti Material U, ikon mengikut tema dan keupayaan taskbar menjadikan Magix OS 7.1 ini terasa agak kosong.

Namun begitu, untuk memberikan pengalaman yang lebih baik ketika menggunakan HONOR Magic Vs, ia hadir dengan fungsi multi-window dock dan multi-window gesture. Untuk fungsi multi-window dock, ia membolehkan pengguna menjalankan empat aplikasi secara terapung di skrin manakala dua lagi aplikasi dijalankan pada skrin utama. Pengguna juga boleh menambah sehingga 15 aplikasi pada multi-window dock.

Sementara, untuk mutli-window gestures ia membolehkan pengguna mengubah saiz dan juga kedudukan aplikasi yang sedang digunakan. Namun begitu, fungsi ini tidak menyokong ketika peranti dalam keadaan dilipat.

Biarpun, tidak hadir dengan pelbagai fungsi tersedia pada Android 13, Magic OS 7.1 tetap menawarkan pengalaman penggunaan yang sangat baik. Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi, semua aplikasi dapat dijalankan dan lancar. Pelbagai permainan turut boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang isu.

Bateri

HONOR Magic Vs dimuatkan dengan bateri sebesar 5000mAh, yang mana ia mungkin peranti boleh-lipat pertama dengan kapasiti bateri paling besar di pasaran ketika ini. Peranti ini turut menyokong pengecasan pantas SuperCharge 66W.

Satu perkara yang tidak membimbangkan kami mengenai HONOR Magic Vs adalah ketahanan bateri. Dengan gabungan kapasiti bateri yang besar dan pengecasan pantas peranti ini mampu memberikan waktu penggunaan yang lebih panjang. 

Untuk penggunaan biasa, SOT peranti ini mampu mencapai 9 hingga ke 10 jam dengan waktu penggunaan sekitar 14 hingga 15 jam. Manakala untuk penggunaan yang lebih berat, SOT peranti ini menurun kepada 6 hingga ke 7 jam. Untuk mendapatkan jangka hayat bateri yang lebih panjang, kami sarankan untuk anda menggunakan peranti ini secara unfold.

Dari segi pengecasan. untuk  isian dari 0% ke 40% ia mengambil masa sekitar 15 minit sahaja, manakala untuk isian penuh ia hanya mengambil masa sekitar 45 minit sahaja. Sebagai perbandingan Samsung Galaxy Z Fold4 mengambil masa sekitar 80 minit untuk satu isian penuh melalui pengecas 25W.

Kamera

HONOR Magic Vs hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 54MP IMX800 + 50MP ultra sudut lebar + 8MP 3x optikal zum. Keupayaan kamera peranti ini ditala dengan Honor Image Engine untuk memberikan imej yang lebih baik dan berkualiti. Manakala untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 16MP pada skrin luar dan 16MP pada skrin dalam.



Secara keseluruhan, kemampuan kamera pada HONOR Magic Vs adalah sangat baik. Untuk waktu dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan sangat baik dengan warna yang dihasilkan seimbang dan penghasilan kontras yang baik. Tahap Perincian juga dapat dikekalkan dengan baik pada setiap imej. Hasil imej kamera swafoto juga agak baik, lebih baik berbanding kamera swafoto UDC yang digunakan pada Samsung Galaxy Z Fold4.



Pada keadaan kurang cahaya, kamera utama HONOR Magic Vs masih lagi menawarkan imej dengan perincian yang baik. Manakala, untuk kamera ultra lebar perincian imej tidak dapat dikekalkan dengan baik dan juga soft, warna dan kontras yang dihasilkan juga tidak konsisten. Ketiadaan OIS sedikit sebanyak menjejaskan hasil dan perincian imej. 



Terdapat juga pelbagai mod kamera yang ditawarkan seperti potrait, aperture, pro, night dan lain-lain. Untuk rakaman video, peranti ini menyokong resolusi sehingga 10 bit 4K 60fps dan terdapat juga mod khas video yang dipanggil sebagai movie.

Kesimpulan


HONOR Magic Vs boleh dikatakan sebagai salah satu peranti boleh-lipat terbaik yang ada di pasaran tempatan pada ketika ini. Atau mungkin ia juga boleh dikatakan sebagai peranti boleh-lipat yang lengkap dari segi teknologi, spesifikasi dan kemampuannya.



Walaubagaimanapun, peranti boleh-lipat dari HONOR ini masih ada ruang untuk diperbaiki seperti sistem operasi yang lebih baik dan penarafan kalis air dan debu. Dengan tanda harga jualan yang kompetitif, HONOR Magic Vs dijangka akan menjadi pencabar kepda peranti boleh-lipat lain seperti Samsung, Huawei dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN